RAMAI TAK SABAR MENUNGGU ANWAR JADI PM

 

Susulan pemakluman Anwar Ibrahim pada minggu lalu bahawa beliau telah mempunyai sokongan yang kukuh dan meyakinkan untuk mengambil alih kerajaan, keghairahan orangramai untuk melihat ia menjadi kenyataan turut meningkat.

Di mana-mana, apabila saja ada perbualan mengenai politik negara, soalan yang tidak terlepas daripada pertanyaan ialah bila Anwar akan mengangkat sumpah?

Lebih daripada itu, ramai kawan-kawan dan saudara mara juga turut bertanyalan soalan yang sama.

Makin hari berlalu, soalan yang sama terus ditanya dan kedengaran di mana-mana, meskipun rata-ratanya faham bahawa Agong belum dapat menerima Anwar untuk mengadap berikutan masalah kesihatan yang dihadapi baginda.

Ini memperlihatkan keghairahan rakyat Malaysia untuk melihat Anwar mengambil alih kerajaan amat tinggi, sama tinggi dengan bimbangnya penyokong Muhyiddin Yassin terhadap kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional.

Realitinya, selagi Anwar belum dapat mengadap Agong, maka selagi itulah soalan “bila Anwar akan mengangkat sumpah?” terus tiada jawapan.

Anwar sudah memaklumkan sebelum ini bahawa jumlah bilangan Ahli Parlimen yang menyokongnya hanya akan dipersembahkan kepada Agong terlebih dahulu, selepas itu jika ada keperluan, barulah akan didedahkan kepada umum.

Maka, selagi Agong tidak sihat dan Anwar tidak dapat mengadap, tiada siapa tahu berapa jumlah Ahli Parlimen yang sudah menyatakan sokongan kepada Presiden PKR itu mengambil alih kerajaan.

Juga tidak akan diketahui bila tarikh angkat sumpah akan dilangsungkan.

Sebelum ini, Anwar sudah pun mendapat tarikh untuk mengadap Agong iaitu pada 11 pagi Selasa, 22 September bagi mempersembahkan jumlah sokongan yang telah diperolehinya dan selepas itu suatu sidang akhbar akan diadakan.

Tetapi, berikutan keadaan kesihatan Agong yang tidak mengizinkan, majlis mengadap telah ditangguhkan ke suatu tarikh lain yang belum ditentukan.

Untuk itu, Anwar telah mengadakan sidang media pada 23 September memaklumkan rancangannya untuk mengambil alih kerajaan itu dengan hakikat sokongan yang dimilikinya adalah kukuh dan meyakinkan.

Dalam hal ini, Anwar terpaksa mengadakan sidang akhbar, walaupun belum mengadap Agong kerana bimbang rancangannya itu bocor kepada pengetahuan umum terlebih dahulu.

Yang penting di sini, dengan Anwar telah memohon untuk mengadap Agong, malah malah disahkan oleh Istana Negara dan sudah diberikan tarikh dan masa untuk pertemuan, bermakna beliau tidak berbohong dan bukan main-main dengan jumlah sokongan yang telah diperolehinya serta usahanya untuk mengambil alih kerajaan.

Ia kemudian diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Presiden UMNO, Zahid Hamidi yang tiada halangan jika Ahli-Ahli Parlimen BN mahu memberi sokongan, sambil beliau juga dimaklumkan bahawa sudah ramai daripada kalangan mereka itu telah pun menyokong Anwar.

Selain itu, bekas Perdana Menteri, Najib Razak juga agak berteka-teki mengenai perkara itu – tidak mengiya dan tidak pula menafikan.

Dengan sokongan yang dimiiliki Muhyiddin hanya antara satu atau dua undi saja di Dewan Rakyat, menjatuhkannya bukan masalah besar sebenarnya jika dilihat kepada semakin membesarnya perasaan tidak puas hati di pihak UMNO terhadap kepimpinan Perdana Menteri sejak kebelakangan ini.

Pokok pangkalnya, bertukar atau tidak kerajaan dalam waktu terdekat ini hanya boleh diketahui selepas Anwar dibenarkan mengadap Agong dalam waktu yang terdekat ini.

Setelah Anwar mengadap Agong dan mempersembahkan sokongan yang dimilikinya, selepas itu Agong tentu saja akan memanggil Muhyiddin pula untuk mengadap baginda.

Seterusnya, jika terbukti Anwar memiliki sokongan yang mencukupi, Muhyiddin ada dua pilihan – meletak jawatan dan menyerahkan kepada Anwar untuk mengambil alih kerajaan atau membubarkan Parlimen bagi diadakan pilihanraya.

Kuncinya di sini ialah sementara Anwar mungkin tidak sabar menunggu tarikh untuk mengadap Agong yang turut disertakan doa agar baginda segera sihat seperti sediakala, rakyat Malaysia secara umumnya pula turut tidak sabar untuk melihat bila majlis angkat sumpah Perdana Menteri baru akan dilangsungkan. (Shahbudindotcom 01/10/2020)