Bersatu musuh dalam selimut Umno?
UMNO tidak sama seperti PAS yang ditanamkan sifat walak yang mulia terhadap pemimpin. UMNO juga tidak sama dengan Bersatu yang tidak cukup keahlian dan hanya ada lapisan kepimpinan automatik manakala bilangan ahli hanya wujud atas kertas. Keunikan UMNO ialah barisan kepimpinan UMNO diangkat dan dijatuhkan oleh gerakan akar umbi yang lebih 3 juta ahlinya, itu pun tidak termasuk lagi bilangan yang belum berdaftar yang bersimpati dengan UMNO.
Sejak seminggu yang lalu berdegar-degar akar umbi UMNO mengugut agar Presidennya meletakkan jawatan atau gerakan secara dalaman akan dirancang untuk menyingkir barisan kepimpinan sekiranya BN tidak tarik sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin. Kini kedudukan Presiden bagaikan telur di hujung tanduk menjelang pemilihan UMNO tahun hadapan disebabkan tekanan ugutan yang sangat dahsyat ini.
Apa puncanya?
Ketika jentera UMNO berusaha sedaya upaya membantu calon Bersatu yang kedaifan jentera pilihanraya, wujud desas desus Bersatu pula melakukan sabotaj dengan membiarkan parti lain menentang dan memecahkan undi calon BN atas nama Perikatan Nasional.
Akibat indisen tersebut, Bersatu telah pun melahirkan musuh dalam selimut untuk menjadi bom jangka yang akan menguburkan Bersatu buat selamanya dalam PRU-15 nanti.
BN selama ini banyak beralah kepada Bersatu, namun Bersatu bukan sahaja tidak menghargainya malah BN khususnya UMNO dihina setiap hari. Bayangkan berapa ramai yang terluka hatinya ketika akar umbi UMNO yang selama ini terpaksa berkorban di media sosial mempertahankan Bersatu daripada serangan pihak Pakatan Harapan tetapi dihina bagaikan anak tiri Abah, terutamanya oleh Ketua Pemudanya.
Kami akar umbi UMNO juga bukanlah dungu dengan sekadar membiarkan kepala kami dipijak setiap hari. Diamnya akar umbi UMNO bukan bermaksud setuju, tetapi berusaha menahan sabar terhadap penghinaan demi penghinaan walhal di hati pula sedang mendidihkan larva yang terpendam di dasar gunung.
Adakah Bersatu merasai UMNO tidak mampu mencatur strategi untuk bertindak balas sehingga menyebabkan Bersatu lemas dalam perangkap politik mereka sendiri?
Cuba Bersatu fikirkan nasib parti sendiri sekiranya UMNO menarik diri daripada memberikan sokongan terhadap Bersatu agar Parlimen terbubar.
Sesudah itu UMNO mengisytiharkan hanya akan menyokong TGHH, Dr. Samsuri atau mana-mana tokoh yang berkelayakan dari parti PAS untuk dicalonkan sebagai PM manakala TPM dan Menteri Kanan pula daripada UMNO.
Kemudian UMNO tidak sesekali membenarkan Bersatu bertanding di seluruh kerusi milik UMNO selama ini serta dalam masa yang sama kami lancarkan untuk mencantas beberapa pemimpin Bersatu yang bertanding termasuk pemimpin tertingginya dengan mengarahkan seluruh akar umbi UMNO di kawasan tersebut mengundi pihak lawan kepada calon Bersatu tersebut.
Apakah Bersatu mampu menghadapi situasi serangan kami daripada UMNO ini dengan mendabik dada atau pun akhirnya terpaksa melutut mohon belas kasihan. Apakah Bersatu terlalu takbur rasa memiliki keyakinan untuk menang di kawasan-kawasan yang kami sebotaj secara terang-terangan ini? Apa Bersatu mampu buat?
Tidakkah Bersatu sedar bahawa UMNO daripada asalnya lebih bersetuju agar Parlimen dibubarkan, namun atas rasa tanggungjawab terhadap rakyat dan negara ketika itu, UMNO setuju mengangkat Bersatu sebagai PM.
Oleh itu, Bersatu harus sedar diri. Usah baling batu sembunyi tangan. Kami akar umbi tidak gentar terhadap Bersatu. Bahkan andai pemimpin-pemimpin kami tidak mahu bergerak, kami di akar umbi sendiri mampu lakukan sesuatu di mana-mana salah satu sama ada PRU di adakan dulu atau Perhimpunan Agung UMNO diadakan dulu.
Parti 6 kerusi usah nak berlagak untuk menguasai seluruh negara. BN ketika teruk diasak dengan fitnah oleh Pakatan Harapan yang Bersatu sendiri adalah komponannya pada PRU-14 dulu mampu bertahan sehingga kini. Apatah lagi situasi ketika ini semakin meningkat sokongan pengundi atas pagar yang menaruh simpati atas penganiayaan Bossku serta di kalangan yang sudah mendapatkan segala fakta-fakta berkenaan fitnah sebelum PRU.