Flashmob fotografi sokong Anwar PM ke 9
Gabungan Reformis Malaysia (GRM) menyeru agar rakyat menganjurkan flashmob fotografi bagi menyokong usaha Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat sebagai Perdana Menteri (PM) ke 9.
Koordinator GRM, Mustaffa Kamil Ayub berkata, flashmob fotografi dilaksanakan bagi menggantikan himpunan fizikal yang dirancang diadakan di seluruh negara bermula pada 3 Oktober lalu.
Katanya, pandemik Covid 19 yang masuk ke fasa gelombang ketiga tidak memungkinkan himpunan fizikal dianjurkan namun diganti dengan paparan suara rakyat di media sosial bagi memberi mesej agar kemelut politik negara dapat diselesaikan segera.
“Hari ini GRM melakukan flashmob fotografi di seluruh negara, dari Perlis sampai ke Sabah secara aman mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.
“Daulat Tuanku, kami meyakini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili suara rakyat dan beliau selayaknya selaku PM ke 9 Malaysia.
“Daulat Tuanku, menjunjung kasih,” kata Mustaffa dalam satu kenyataan di Facebook.
Sebelum ini, GRM menggalakkan rakyat Malaysia berinisiatif melakukan flashmob dengan menulis di kertas: ‘PN tiada mandat rakyat’, ‘DS Anwar Ibrahim #PM Malaysia 9’, ‘Menjunjung kasih Tuanku’, ‘DS Anwar mewakili mandat rakyat’ atau ‘Daulat Tuanku’ dan mengambil foto serta menaikkannya (up load) di Facebook masing-masing atau di sebarang media sosial lain.
Flashmod dianjurkan lantaran Anwar mengumumkan pada 22 September lalu telah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk mengambil alih kerajaan dari PM Muhyiddin Yassin. Bagaimanapun sehingga hari ini tiada tindakan diambil berhubung kenyataan tersebut.