Kritikan kononnya kerajaan Pakatan
Harapan (PH) gagal sama sekali memerintah negara selama 22 bulan sejak Pilihan
Raya Umum ke 14 lalu tidak menepati piawaian akademik.
Bagi Profesor Dr Razali Nawawi, hanya
orang yang tidak faham menilai perjalanan pentadbiran kerajaan akan menganggap
PH telah gagal. Sedangkan, katanya, tempoh tersebut amat singkat untuk diukur
dari segi kemampuan atau kejayaan pemerintahan.
"Tempoh 22 bulan ini lama ke
pendek? PH perintah 22 bulan, apakah secara ilmiah adil untuk memberi penilaian
bagi kerja-kerja 22 bulan?
"Kalau mahasiswa tak grade (tamat) lagi. Baru dua semesta. Tak tau ke mana.
Kalau kerjaya undang-undang, jadi peguam, tahun 4 baru belajar prosedur, civil procedure. Keluar, belum boleh practise, kena buat chambering dulu.
"Bagi saya, suatu pengkhianatan
terhadap usaha PH (dengan menggulingkan kerajaan) yang baru cuba ambil alih
negara. Ibarat ambil alih rumah nak runtuh. Masuk (ke rumah) tiang nak patah.
Nak baiki yang itu tak selesai lagi, bagaimana yang lain?
"Jadi tempoh PH amat pendek
untuk dinilai berbanding BN yang perintah 60 tahun," katanya dalam forum
anjuran Gabungan Reformis Malaysia (GRM), malam tadi.
Dr Razali yang merupakan mantan
Presiden ABIM pertama sebaliknya menempelak BN, setelah memerintah selama 61
tahun mengapakah pada 9 Mei 2018 mereka dijatuhkan oleh rakyat?
Katanya, jika rekod BN amat baik maka
rakyat akan menyambung mandat gabungan itu, bukan menyahkannya dari tampuk
kuasa.
"Di hujung 61 tahun rakyat tak
puas hati (terhadap BN). Sepatutnya (usia) 61 tahun ini BN boleh menang 101%.
Tetapi apa jadi, lepas 61 tahun, mereka jatuh.
"Jadi adilkah menilai kerja PH
selama 22 bulan? Kalau nak adil penilaian dari segi akademik, bagi balik
kerajaan (kembalikan mandat) sampai habis penggal. Barulah nilai,"
sinisnya.
Kerajaan PH digulingkan dalam
rampasan kuasa Langkah Sheraton pada Februari lalu. Sejak itu, penyokong
kerajaan Perikatan Nasional saban hari mendakwa PH gagal total dalam
pemerintahan, biar pun PH telah membariskan berpuluh-puluh kejayaan pembaharuan
dasar dan memenuhi sebahagian janji manifesto PRU 14 lalu.
Untuk rekod, Prof Dr Razali Nawawi
merupakan penyokong kuat gerakan Reformasi yang dilancarkan oleh Datuk Seri
Anwar Ibrahim sejak 1998.
Beliau merupakan Presiden pertama ABIM pada pemilihan kepimpinan
tahun 1972, yang mana ketika itu Anwar dilantik sebagai Setiausaha Agung.