Kementerian
Hal Ehwal Ekonomi yang diterajui Azmin Ali sebelum ini dan Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dipimpin oleh Zuraida Kamaruddin ketika
ini didapati membelanjakan lebih banyak daripada apa yang diperuntukkan tahun
lalu.
Ahli Parlimen
Subang, Wong Chen berkata ini berdasarkan Rang Undang-Undang Perbelanjaan
Tambahan yang menunjukkan bahawa Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah menambah
bajet kira-kira 21 peratus daripada jumlah yang diperuntukkan sebelum ini.
"Tahun
lalu, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi diperuntukkan bajet keseluruhan sebanyak
RM2.965 bilion, tetapi kementerian itu menambah RM608 juta lagi, ini adalah
peningkatan yang cukup besar iaitu 21 peratus.
"Malah,
dalam butiran kategori pemberian dan kenaan bayaran tetap, Kementerian Hal
Ehwal Ekonomi menambah perbelanjaan mengurus sebanyak RM39 juta.
"Padahal,
anggaran bajet asal untuk perkara yang sama cuma RM160,000. Ini adalah
peningkatan super extraordinary iaitu sebanyak 246 kali ganda," katanya di
Dewan Rakyat.
Pada masa
sama, Wong Chen juga mempersoalkan perbelanjaan berlebihan yang dibuat oleh
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan peratusan yang sama
dengan Azmin iaitu sebanyak 21 peratus
"KPKT
diperuntukkan sebanyak RM4.826 bilion pada 2019. Dalam Rang Undang-Undang
Perbelanjaan Tambahan, KPKT menambah RM1.105 bilion yang menunjukkan ia satu
penambahan ketara iaitu sebanyak 21 peratus
"Kita
juga boleh lihat dalam butiran kategori pemberian dan kenaan bayaran tetap,
KPKT menambah RM611 juta sedangkan anggaran asal untuk perkara sama adalah
RM900 juta. Ini juga satu peningkatan cukup besar iaitu sebanyak 68
peratus," katanya.
Wong Chen
turut berpandangan bahawa Zuraida gagal menguruskan perbelanjaan dengan baik
untuk syarikat milik kerajaan di bawah kementeriannya iaitu SWCorp
"Saya
memahami tambahan ini adalah untuk keperluan konsesi perkhidmatan pengurusan
sisa pepejal dan pembersihan awam dibawah SWCorp.
"SWCorp
adalah syarikat milik kerajaan dan rakyat perlu tahu sama ada terdapat konsesi
baru yang telah diberikan kepada syarikat ini.
"Kalau
peruntukan baru dalam 10 atau 20 peratus kita boleh faham, tetapi kalau bajet
asal RM100 juta tiba-tiba naik sampai RM342 juta, apa alasannya naik mendadak?
"Mungkin
ada faktor sosioekonomi, tetapi penambahan ini terlalu banyak dan tidak ada
fiskal disiplin langsung.
"Dalam
perancangan bajet sebelum ini, KPKT cuma minta RM900 juta, padahal SWCorp
tiap-tiap tahun bajet lebih kurang sama, tetapi kali ini minta RM1.18 bilion,
sangat tak masuk akal," katanya.