Denda RM1,000 yang dikenakan terhadap mana-mana individu yang
gagal memakai pelitup muka di tempat-tempat awam dilihat sebagai satu hukuman
yang tidak adil dan berat sebelah.
Dalam kenyataan bersama, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii
dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berpendapat bahawa denda yang dikenakan
mempunyai kesan yang besar kepada orang awam, berbanding denda yang dikenakan
terhadap golongan elit.
"Seorang budak lelaki menangis selepas polis mengenakan
kompaun kerana tidak memakai pelitup muka dengan betul amat menyentuh hati
rakyat. Pada masa sama, golongan elit boleh terlepas dengan membayar denda
ataupun langsung tidak dikenakan tindakan.
"Sebagai contoh, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang
sudah dilantik sebagai ahli parlimen sejak 1995 dan kini menjadi menteri kanan
hanya didenda RM250 kerana menghisap vape secara terbuka di Dewan Rakyat.
"Rakyat pastinya kecewa dengan sikap 'double standard' yang
dipraktikkan oleh kerajaan," menurut kenyataan itu.
Justeru, Kelvin dan Shu Qi menggesa kerajaan supaya mengurangkan
denda RM1000 kepada RM250 dan mendesak semua ahli parlimen menyokong petisyen
tersebut.
"Kami berpendapat denda RM1,000 terlalu melampau untuk rakyat
biasa dalam keadaan ekonomi ketika ini. Oleh itu, kami mencadangkan denda
RM1,000 dikurangkan kepada RM250. Denda ini sepatutnya untuk mendidik, bukan
menghukum.
"Tambahan pula, RM250 sangat bermakna bagi kebanyakan
keluarga B40 pada masa sukar ini ketika mereka berusaha mendapatkan bekalan
pelitup muka yang mencukupi.
"Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk
mengurangkan denda secepat mungkin. Rakyat mahukan pendekatan yang adil dari
kerajaan," katanya.