Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memakai helmet ketika berkawal di bangunan Selangor Mansion Jalan Masjid India
KUALA LUMPUR - Warga asing yang terlibat menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokasi kediaman di sini, didakwa menunjukkan protes dengan melempar barangan dari tingkat atas bangunan bukan sekadar sampah, tetapi termasuk bungkusan plastik berisi air kencing.
Sikap biadap terbabit ditunjukkan penghuni dipercayai warga asing di tiga lokasi kediaman yang telah diisytiharkan PKPD itu bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.
Menurut sumber, petugas terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terpaksa berdepan situasi itu ketika melakukan kawalan selama 24 jam di kawasan berkenaan.
Katanya, sikap biadab penghuni warga asing itu sebenarnya ketara sejak peringkat awal pelaksanaan PKPD dipercayai kerana mereka tidak berpuas hati terhadap perintah berkenaan dan kemungkinan kerana masalah mendapatkan bekalan makanan.
"Bukan saja-saja askar pakai helmet ketika berkawal di bangunan-bangunan kediaman itu. Jika kita lihat ketika kawalan sekatan jalan raya, askar tak pakai helmet pun, hanya pakai beret.
"Pakai helmet sebab nak elak daripada kena benda yang dibaling dari atas. Bawang putih pun dibaling dari dalam rumah. Jadi kita tak dapat kenal pasti dari unit mana," katanya kepada Sinar Harian.
Kelihatan beberapa askar lengkap bertopi keledar mengawal kawasan salah satu penempatan yang dikenakan PKPD, baru-baru ini.
Bagaimanapun sumber itu menambah, keadaan kini makin terkawal setelah penghuni akur dengan sikap tegas yang diamalkan oleh petugas keselamatan ketika berkawal.
Katanya, mereka juga tidak mempunyai alasan untuk melakukan protes kerana difahamkan bantuan makanan turut diaturkan kepada penghuni terlibat.