Berdasarkan jawapan atau penjelasan Anwar Ibrahim terhadap surat yang ditulis Hadi Awang kepada pemimpin-pemimpin Gerakan Islam seluruh dunia, jelas bahawa terdapat fakta fitnah yang nyata telah dilemparkan kepada Presiden PKR itu.
Dalam surat Hadi Awang itu, beliau antara lain menuduh Anwar terlibat dengan Freemason dan mendapat sokongan badan Yahudi itu untuk menjadi Perdana Menteri.
Sambil menolak beliau terlibat dalam Freemason, Anwar berkata, dalam semakannya mendapati terdapat inidividu lain yang sama nama dengannya berada dalam pergerakan itu.
Beliau juga menyertakan gambar lelaki tersebut, seorang lelaki warga asing berbadan gempal, berpakaian sut hitam yang gambarnya diambil pada tahun 2006.
“Hadi menyebut saya ini, anggota bahkan orang besar, malah orang kanan Freemason.
“Oleh itu, saya dengan demikian minta staff cari (maklumat), rupa-rupanya ada nama Anwar dan mereka tahu kerana ia keluarkan dulu (dalam) lodge officers 2010-2011 – civil service num 143, brother Anwar Ibrahim.
“Ya Allah, kalau nak politik pun, nak sokong UMNO, janganlah sampai macam tu. Takkanlah saya 2006 boleh sihat segar bugar.
“Kita kalau nak buat tuduhan, semak fakta. Kalau dalam tazkirah, pandai sekali, kita ambil hadis, kena tahu siapa perawinya, sahih atau tidak.
“Tapi bila nak fitnah orang, tak payah fakta, tak payah perawi,” kata Anwar dalam siaran videonya secara langsung malam tadi.
Sehubungan itu, tegas Anwar lagi, demi membersihkan namanya, beliau akan menulis satu surat balas kepada pemimpin Gerakan Islam seluruh dunia sebagai menjawab dakwaan fitnah Hadi Awang itu.
“Saya akan jawab dan beritahu kepada pemimpin-pemimpin dunia Islam yang menerima surat Hadi Awang dan saya akan sebarkan juga surat itu nanti kepada khalayak untuk menunjukkan bahawa ia benar-benar suatu fitnah,” tambah Anwar lagi.
Hakikat bahawa segala dakwaan Hadi Awang dalam surat tersebut adalah fitnah, bohong dan rekaan sebenarnya tambah diperkuatkan lagi dengan sikap Duta Khas bertaraf menteri ke Timur Tengah itu yang sehingga kini masih berdiam diri dan takut untuk membuka mulutnya.
Logiknya, jika seseorang itu menuduh orang lain dengan asas kebenaran, ada bukti dan sandaran yang kukuh, biasanya tidak ada masalah untuk orang berkenaan tampil penuh berani mempertahankannya.
Tetapi, dengan sudah lebih seminggu berdiam diri dan para pemimpin Pas yang lain juga tidak bercakap apa-apa, terbukti bahawa Hadi Awang sendiri dan semua pewala’ dalam parti itu tahu bahawa surat tersebut adalah rekaan dan tiada kebenaran.
Maka, dalam hal ini, walaupun tindakan Anwar menjawab dan memberi penjelasan serta akan mengutus surat balas kepada pemimpin-pemimpin Gerakan Islam seluruh, sambil selepas itu akan mendedahkannya kepada orangramai , adalah suatu tindakan tepat dan terpuji, tetapi ia sebenarnya belum lagi memadai.
Hadi Awang perlu “diajar” lebih daripada itu kerana keceluparan dan mulut hodohnya yang berselindung di sebalik agama bukanlah pertama kali dilakukannya.
Dalam ceramah atau kenyataan-kenyataan lain yang bertujuan menyerang mereka yang berbeza dengannya, beliau acapkali memperlihatkan dirinya seolah-olah tiada akhlak Islam dan sewenang-wenang membuat perbandingan yang tidak masuk akal.
Anwar seterusnya wajib mengambil tindakan undang-undang dan mengheret Hadi Awang ke muka pengadilan atas fitnah dan dakwaan bohong yang dilakukan Presiden Pas itu.
Di mahkamah nanti, kita sama-sama saksikan sama ada Hadi Awang dapat dengan lancar menjawab soalan-soalan peguam berhubung asas fitnah yang dilemparkannya, bukan saja kepada Anwar, tetapi juga kepada PH dalam suratnya itu, atau nantinya akan tergagap-gagap mencari ayat mempertahankan diri.
(ShahbudinHusin 10/04/2020)