4 Tahun PMX: Masa Anwar naik, median gaji rakyat RM2,424 sebulan. Pada Disember 2025, median gaji pekerja sektor formal dah mencecah RM3,167.

 








4 Tahun PMX: Masa Anwar naik, median gaji rakyat RM2,424 sebulan. Pada Disember 2025, median gaji pekerja sektor formal dah mencecah RM3,167.

Apa benda median gaji ni? Kita cerita dalam bahasa mudah.
Katakan ada lima orang bekerja di sebuah kampung. Seorang gaji RM1,700, seorang RM2,000, seorang RM2,500, seorang RM4,000 dan seorang lagi RM10,000.
Kalau kita susun mereka daripada gaji paling rendah kepada paling tinggi, orang yang duduk di tengah itu gajinya RM2,500. Itulah yang dipanggil median gaji.
Kenapa kita tengok gaji orang yang di tengah? Sebab kita nak tahu keadaan gaji pekerja biasa, bukan gaji CEO atau orang yang bergaji puluhan ribu ringgit sebulan.
Pada tahun 2022, median gaji rakyat Malaysia ialah RM2,424. Pada tahun 2025, berdasarkan kajian gaji yang sama, angka itu dah meningkat kepada RM2,940. Kalau kita tengok pekerja sektor formal pula, median gaji mereka pernah mencecah RM3,167 pada Disember 2025.
Adakah ini bermakna semua orang dah naik gaji? Tak. Ada yang gajinya naik banyak, ada yang naik sedikit dan ada juga yang masih tak naik gaji.
Tetapi secara keseluruhannya, kedudukan gaji pekerja semakin meningkat.
Bila kilang-kilang baharu dibuka dan lebih banyak syarikat menawarkan pekerjaan, majikan juga perlu bersaing untuk mendapatkan pekerja. Persaingan ini boleh membantu meningkatkan gaji.
Kita bukan sekadar nak anak-anak kita keluar universiti dan dapat kerja. Kita nak mereka dapat kerja dengan gaji yang setimpal dengan kelulusan mereka.
Kita juga tak mahu orang yang dah bekerja 10 tahun masih menerima gaji yang hampir sama dengan orang yang baru masuk kerja.
Sebab itu apabila kita bercakap soal kemajuan ekonomi negara, bukan setakat berapa banyak pelaburan masuk atau berapa banyak kilang dibuka. Kita juga kena tengok berapa banyak duit yang akhirnya masuk ke dalam poket rakyat.
Gaji meningkat itu perkembangan yang baik. Tetapi kerja belum selesai. Kita nak gaji rakyat terus meningkat lebih cepat daripada kenaikan kos sara hidup. Barulah rakyat betul-betul dapat merasai kemajuan ekonomi negara.

DI MALAYSIA NI YANG MALAS SAJA MENGANGGUR. YANG RAJIN MACAM MACAM BOLEH DI USAHAKAN

 




4 Tahun PMX: Masa Anwar naik, kadar pengangguran 3.9%. Sekarang dah 2.9%, paling rendah dalam 10 tahun.

Kenapa penting sangat kadar pengangguran ini? Apa kena-mengena dengan kehidupan kita?
Mudah sahaja. Bila ramai orang ada kerja, ramai orang ada pendapatan. Ada duit nak beli makanan, bayar sewa rumah, bayar bil elektrik dan belanja anak-anak sekolah. Hidup keluarga pun lebih terjamin.
Bila ramai orang menganggur, masalah sosial juga lebih mudah timbul. Orang terdesak nak cari duit, tekanan hidup meningkat dan risiko berlakunya jenayah seperti mencuri juga boleh meningkat. Bukan bermakna semua orang menganggur akan buat jenayah, tetapi kesempitan hidup merupakan salah satu faktor yang mendorong berlakunya jenayah.
Yang menarik sekarang ialah kerajaan bukan sekadar berusaha membawa masuk pelaburan untuk menyediakan peluang pekerjaan, tetapi juga pekerjaan yang bergaji tinggi.
Contohnya dalam industri semikonduktor. Kerajaan menyasarkan untuk melatih 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030. Enam puluh ribu orang, bukan sedikit.
Bila ekonomi kita semakin baik, semakin banyak syarikat luar berminat membuka atau mengembangkan operasi di Malaysia. Tengok sahaja di Johor, syarikat-syarikat dari Singapura pun semakin berminat untuk mengembangkan perniagaan mereka di sini, termasuk dalam industri semikonduktor.
Sekarang kerajaan dah berusaha membawa masuk peluang pekerjaan ini. Persoalannya, siapa yang akan mengisinya?
Di sinilah mak ayah kena mula fikir. Anak-anak yang masih bersekolah hari ini, lima atau sepuluh tahun lagi mereka akan masuk ke alam pekerjaan. Bidang apa yang patut mereka ambil? Kemahiran apa yang diperlukan oleh syarikat-syarikat ini?
Kita tak mahu anak-anak kita hanya bergantung kepada pekerjaan seperti penghantar makanan atau pemandu e-hailing. Tak ada salahnya pekerjaan itu, rezeki halal. Tetapi kalau ada peluang untuk anak-anak kita menjadi jurutera, pakar teknologi, pereka cip elektronik atau pekerja teknikal bergaji tinggi, kenapa kita tak persiapkan mereka dari sekarang?
Tak semestinya semua kena masuk universiti. Ambil bidang TVET pun boleh. Yang penting, kemahiran yang dipelajari itu memang diperlukan oleh industri.
Dalam Islam sendiri, ada riwayat yang masyhur menyebut bahawa hampir-hampir kefakiran membawa kepada kekufuran. Rasulullah SAW juga berdoa memohon perlindungan Allah daripada kekufuran dan kefakiran.
Begitulah pentingnya usaha membasmi kemiskinan dan menyediakan peluang pekerjaan dalam kehidupan masyarakat.
Hari ini kita bukan sahaja kena fikir bagaimana nak bagi anak-anak kita dapat kerja, tetapi bagaimana nak bagi mereka dapat kerja yang bergaji tinggi. Peluang sedang dibuka, kita pula kena bersedia untuk mengisinya.

NAK DATANG KE SEKOLAH PUN MALAS. TAPI BAB NAK KOMEN CIKGU ...PANTAS

 







Nak RM200 bantuan sekolah anak? Datanglah sekolah jumpa dan kenal cikgu yang didik anak kamu tu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM200 tahun depan diserahkan kepada ibu bapa di sekolah, supaya mereka dapat berjumpa sendiri dengan guru-guru yang mendidik anak-anak mereka.
Anwar mahu ibu bapa mengenali sekolah anak-anak mereka, mengenali guru-guru dan mendengar sendiri nasihat daripada guru berkaitan pendidikan anak-anak.
Ada mak ayah yang setiap hari menghantar anak ke sekolah, tetapi jarang berpeluang berjumpa dengan cikgu. Kadang-kadang tak tahu pun bagaimana perkembangan anak-anak mereka di sekolah.
Sebab itulah pemberian bantuan ini juga boleh dijadikan kesempatan untuk merapatkan hubungan antara ibu bapa dengan pihak sekolah.
Anak-anak kita memang setiap hari pergi ke sekolah, tetapi tanggungjawab mendidik anak bukan terletak di bahu cikgu semata-mata. Mak ayah juga perlu memainkan peranan.
Datanglah ambil bantuan RM200 itu, duduk sekejap dengan cikgu, tanya bagaimana perkembangan anak kita, apa kelemahan mereka dan apa yang kita sebagai ibu bapa boleh bantu apabila anak-anak balik ke rumah.
Bukan sekadar dapat RM200, tetapi dapat juga mengenali insan yang setiap hari membantu kita mendidik anak-anak.

Ada dengar tak lagi berita harga barang melambung setiap kali tiba musim perayaan? Dah jarang dengar, kan?

 





Ada dengar tak lagi berita harga barang melambung setiap kali tiba musim perayaan? Dah jarang dengar, kan?

Kalau dulu, setiap kali nak sambut Hari Raya, Tahun Baharu Cina atau Deepavali, mesti timbul isu harga barang keperluan naik mendadak. Sejak kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran negara, isu sebegini semakin kurang kedengaran.
Itulah antara nikmat yang kadangkala kita terlepas pandang.
Adakah harga barang akan terus meningkat? Ya. Dalam ekonomi yang sedang berkembang, kenaikan harga secara sederhana merupakan fenomena biasa. Yang penting ialah kadar kenaikan itu terkawal dan tidak membebankan rakyat seperti ketika zaman kerajaan Atap dahulu.
Inflasi sekitar 2 hingga 3 peratus lazimnya dianggap kadar yang sederhana dalam sebuah ekonomi yang sihat.
Apabila ekonomi berkembang, peluang pekerjaan bertambah, pendapatan meningkat, kuasa membeli bertambah dan permintaan terhadap barangan juga meningkat.
Sebaliknya, apabila orang ramai mula berhenti membeli, perniagaan kehilangan pelanggan dan peniaga terpaksa menurunkan harga kerana barangan tidak laku, itu boleh menjadi petanda ekonomi sedang sakit. Apabila harga barangan secara keseluruhan terus menurun, kita panggil fenomena itu deflasi.
Ada yang merungut harga barang semakin naik. Tak macam dulu. Tak semurah dulu.
Kalau nak ikut logik itu, kenapa tidak bandingkan terus dengan harga barang zaman sebelum merdeka? Ketika itu, makanan boleh dibeli dengan beberapa sen sahaja.
Pernahkah mana-mana kerajaan sejak merdeka berjaya mengembalikan harga barangan secara keseluruhan kepada paras tersebut? Tidak. Malah, tuntutan sedemikian tidak munasabah.
Apa yang sepatutnya kita tuntut daripada kerajaan ialah memastikan kadar inflasi terkawal, pendapatan rakyat meningkat, peluang pekerjaan bertambah dan kuasa beli rakyat semakin kukuh.
Kerajaan yang baik bukan kerajaan yang menjanjikan harga barang kembali seperti 30 tahun dahulu, tetapi kerajaan yang memastikan peningkatan pendapatan rakyat mampu mengatasi kenaikan kos sara hidup.
Itulah ukuran sebenar yang sepatutnya kita gunakan dalam menilai prestasi ekonomi kerajaan.

enghantaran LCS2 terjejas disebabkan kelewatan LCS1.

 








Apa yang diumumkan Timbalan Menteri Pertahanan ?
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memaklumkan di Dewan Rakyat pada 25 November 2026 bahawa jadual penghantaran LCS2 terpaksa diubah kerana LCS1 lewat disiapkan.
LCS1 yang asalnya dijadualkan siap pada hujung tahun 2026 kini dianjak ke April 2027. Kesan daripada anjakan itu, LCS2 juga akan terima jadual baharu, tetapi Adly kata ia masih kekal dalam tahun 2027. Tarikh tepat belum diumumkan, dan akan dimaklumkan secara bertulis kemudian.
Kenapa LCS1 lewat ?
Puncanya ialah pemasangan sistem perpaipan yang tidak menepati spesifikasi teknikal dan lukisan kejuruteraan yang ditetapkan.
MINDEF mengambil masa kira-kira empat bulan untuk betulkan pemasangan paip itu supaya betul-betul mengikut spesifikasi sebelum kerja pembinaan diteruskan. Adly tegaskan MINDEF sebagai pengguna akhir tidak akan bertolak ansur dalam soal pematuhan spesifikasi.
Adakah LCS3, LCS4 dan LCS5 turut lewat ?
Menurut Adly, tidak. Jadual penghantaran LCS3, LCS4 dan LCS5 masih mengikut perancangan asal dan tidak terlibat dengan perubahan jadual LCS1 dan LCS2.
Isu lain yang disentuh
Adly turut sentuh isu bekalan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) yang menjejaskan keupayaan keseluruhan LCS. Kerajaan ambil dua langkah :
- Teruskan perbincangan dan tindakan perundangan berkaitan Norway
- Cari peluru berpandu alternatif, termasuk ATMACA daripada syarikat pertahanan Turkiye,
Beliau juga kata keupayaan LCS tidak patut dinilai pada peluru berpandu semata-mata, kerana kapal itu turut berperanan memantau perairan negara dan melaksanakan operasi maritim lain. Projek ini pula melibatkan hampir 400 vendor tempatan.
Status terkini
- LCS1 - KD Maharaja Lela - Dianjak dari hujung 2026 ke April 2027
- LCS2 - KD Raja Muda Nala - Jadual baharu, masih dalam 2027, tarikh tepat belum diumumkan
- LCS3, LCS4, LCS5 - Kekal mengikut jadual asal
Setakat itulah perkembangan terkini, apa-apa update admin akan beritahu...
Begitulah yer
Oleh Salman Al Farisy

DOK DALAM NANTI TAU LA YA

 PENGALAMAN BERHADAPAN KETUA GANGSTER GEDEBE






Panas hati saya apabila menonton video seorang lelaki berusia 62 tahun dibelasah oleh seorang pemuda gedebe, sedangkan dua orang rakannya hanya memerhati tanpa berusaha menghalang perbuatan tersebut.
Lebih menyakitkan hati apabila selepas ditangkap polis dan dibawa ke mahkamah, salah seorang daripada mereka masih sempat menggenggam penumbuk di hadapan kamera, seolah-olah berbangga dengan perbuatannya. Langsung tidak kelihatan tanda-tanda keinsafan.
Sedarlah, hari ini mungkin badan kau masih kuat, kudrat masih bertenaga dan kau berasa diri hebat. Tetapi suatu hari nanti kau juga akan menjadi tua, tubuh semakin lemah dan kekuatan yang dibanggakan itu akan hilang.
Saya ingin berkongsi satu pengalaman peribadi ketika berhadapan dengan seorang ketua gangster yang boleh dijadikan pengajaran kepada kita semua.
************
PERTEMUAN DENGAN KETUA GANGSTER
Semasa bertugas di pejabat dahulu, seorang lelaki yang tidak saya kenali datang untuk berjumpa.
Saya mempelawa beliau masuk dan duduk di kerusi tetamu.
Orangnya berbadan sado, berwajah garang dan mempunyai penampilan yang agak menakutkan.
“Nama saya Karim (bukan nama sebenar). Projek yang tuan kendalikan itu berada dalam kawasan jagaan saya,” katanya membuka bicara.
Daripada penerangannya, saya mendapat tahu bahawa Karim merupakan ketua gangster di kawasan tersebut. Semua kontraktor yang menjalankan projek di situ perlu tunduk kepada arahannya.
“Kontraktor tuan mesti bayar duit bulanan kepada saya. Saya akan pastikan projek berjalan lancar tanpa sebarang gangguan,” sambungnya.
Saya menjawab dengan tenang.
“Encik Karim, hal-hal seperti ini saya tidak masuk campur. Saya hanya menjalankan tugas sebagai penjawat awam untuk memastikan projek dapat disiapkan mengikut perancangan.”
“Saya cuma nak beritahu tuan bahawa ini kawasan jagaan saya,” katanya dengan nada keras lagi.
“Tiada siapa berani membantah cakap saya kerana saya ada ramai kaki pukul,” tambahnya dengan penuh keyakinan.
Saya tidak begitu mengendahkan cakap besar Karim.
Sepanjang hampir 30 tahun mengendalikan projek pembangunan, saya sudah bertemu dengan pelbagai jenis manusia. Ada yang baik, ada yang suka mengambil kesempatan dan tidak kurang juga yang cuba menggunakan pengaruh serta ugutan untuk mendapatkan sesuatu.
Kalau saya membuat laporan kepada pihak berkuasa sekalipun, mungkin akan menjadi satu urusan yang panjang kerana saya tidak mempunyai bukti kukuh selain daripada pengakuan dan kata-kata Karim sendiri.
Saya juga tidak bertanya kepada pihak kontraktor sama ada mereka benar-benar membayar wang perlindungan kepadanya.
Dalam dunia kontraktor, mereka memang terpaksa berurusan dengan pelbagai golongan manusia, termasuk mereka yang berada di lapisan paling bawah dalam hierarki sosial.
Apa yang penting bagi saya, semua projek di kawasan tersebut berjalan lancar dan dapat disiapkan tanpa sebarang gangguan.
LIMA TAHUN KEMUDIAN…
Lima tahun selepas pertemuan pertama, Karim muncul semula di pejabat saya.
Tetapi kali ini, penampilannya jauh berbeza.
Badannya sudah kurus, wajahnya cengkung dan kelihatan seperti seorang yang sedang menanggung penyakit serius.
Beliau terus meminta maaf.
“Saya nak minta maaf kepada Tuan Haji kerana bercakap keras dengan tuan dulu. Kontraktor-kontraktor tuan pun ada membayar duit perlindungan kepada saya. Sebab itulah projek tuan tidak diganggu oleh orang lain,” katanya.
Kemudian beliau menyambung ceritanya.
“Dulu saya memang garang dan kaki pukul. Tiada siapa berani membantah saya. Siapa tegur, saya pukul. Saya rasa saya sahaja yang betul kerana saya kuat.”
Kali ini nada suaranya jauh berbeza. Tiada lagi kesombongan seperti yang saya lihat lima tahun sebelumnya.
“Sekarang saya sudah insaf. Saya menghidap penyakit kencing manis yang kronik. Banyak organ dalam badan saya sudah rosak. Saya datang ke sini untuk meminta maaf kepada Tuan Haji dan kontraktor-kontraktor yang pernah saya aniaya,” katanya.
Saya hanya mendengar luahannya.
Barangkali apabila berhadapan dengan penyakit yang serius, Karim mula menyedari bahawa kekuatan fizikal, pengaruh dan kuasa yang pernah dibanggakannya tidak lagi membawa apa-apa makna.
Mungkin juga beliau sudah mula memikirkan tentang kematian dan ingin membersihkan kesalahan terhadap orang lain sebelum terlambat.
Sebulan kemudian, saya mendapat berita bahawa Karim telah meninggal dunia.
Umurnya baru 45 tahun.
MORAL OF THE STORY
Ketika muda, badan masih kuat dan kudrat masih bertenaga, ada antara kita yang mudah menjadi sombong dan merasakan diri sentiasa betul.
Kita berani membuli, mengugut dan memukul orang lain kerana merasakan tiada siapa mampu melawan kita.
Tetapi kita sering terlupa bahawa kekuatan fizikal itu hanyalah pinjaman sementara.
Hari ini kita mungkin gagah, esok belum tentu.
Hari ini kita boleh membuat orang lain takut kepada kita, tetapi apabila Allah menarik balik kesihatan dan kekuatan yang dipinjamkan, kita akhirnya menjadi manusia biasa yang tidak berdaya.
Jangan tunggu sehingga terlantar sakit atau menghampiri kematian barulah kita mahu menyesali segala kejahatan yang pernah dilakukan.
Kekuatan bukan lesen untuk membuli. Keberanian bukan alasan untuk menindas. Dan menjadi orang yang ditakuti tidak bermakna kita seorang yang dihormati.
Ingatlah, kita semua akan menjadi tua. Apa yang kita lakukan kepada orang lain hari ini mungkin menjadi penyesalan yang tidak sempat kita tebus kemudian hari.
Wallahu a’lam.
Ir. Hj. Zainuddin Bin Hj. Omar