4 Tahun PMX: Masa Anwar naik, kadar pengangguran 3.9%. Sekarang dah 2.9%, paling rendah dalam 10 tahun.
Kenapa penting sangat kadar pengangguran ini? Apa kena-mengena dengan kehidupan kita?
Mudah sahaja. Bila ramai orang ada kerja, ramai orang ada pendapatan. Ada duit nak beli makanan, bayar sewa rumah, bayar bil elektrik dan belanja anak-anak sekolah. Hidup keluarga pun lebih terjamin.
Bila ramai orang menganggur, masalah sosial juga lebih mudah timbul. Orang terdesak nak cari duit, tekanan hidup meningkat dan risiko berlakunya jenayah seperti mencuri juga boleh meningkat. Bukan bermakna semua orang menganggur akan buat jenayah, tetapi kesempitan hidup merupakan salah satu faktor yang mendorong berlakunya jenayah.
Yang menarik sekarang ialah kerajaan bukan sekadar berusaha membawa masuk pelaburan untuk menyediakan peluang pekerjaan, tetapi juga pekerjaan yang bergaji tinggi.
Contohnya dalam industri semikonduktor. Kerajaan menyasarkan untuk melatih 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030. Enam puluh ribu orang, bukan sedikit.
Bila ekonomi kita semakin baik, semakin banyak syarikat luar berminat membuka atau mengembangkan operasi di Malaysia. Tengok sahaja di Johor, syarikat-syarikat dari Singapura pun semakin berminat untuk mengembangkan perniagaan mereka di sini, termasuk dalam industri semikonduktor.
Sekarang kerajaan dah berusaha membawa masuk peluang pekerjaan ini. Persoalannya, siapa yang akan mengisinya?
Di sinilah mak ayah kena mula fikir. Anak-anak yang masih bersekolah hari ini, lima atau sepuluh tahun lagi mereka akan masuk ke alam pekerjaan. Bidang apa yang patut mereka ambil? Kemahiran apa yang diperlukan oleh syarikat-syarikat ini?
Kita tak mahu anak-anak kita hanya bergantung kepada pekerjaan seperti penghantar makanan atau pemandu e-hailing. Tak ada salahnya pekerjaan itu, rezeki halal. Tetapi kalau ada peluang untuk anak-anak kita menjadi jurutera, pakar teknologi, pereka cip elektronik atau pekerja teknikal bergaji tinggi, kenapa kita tak persiapkan mereka dari sekarang?
Tak semestinya semua kena masuk universiti. Ambil bidang TVET pun boleh. Yang penting, kemahiran yang dipelajari itu memang diperlukan oleh industri.
Dalam Islam sendiri, ada riwayat yang masyhur menyebut bahawa hampir-hampir kefakiran membawa kepada kekufuran. Rasulullah SAW juga berdoa memohon perlindungan Allah daripada kekufuran dan kefakiran.
Begitulah pentingnya usaha membasmi kemiskinan dan menyediakan peluang pekerjaan dalam kehidupan masyarakat.
Hari ini kita bukan sahaja kena fikir bagaimana nak bagi anak-anak kita dapat kerja, tetapi bagaimana nak bagi mereka dapat kerja yang bergaji tinggi. Peluang sedang dibuka, kita pula kena bersedia untuk mengisinya.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.