Antara wajah-wajah takfiri yang lahir dari politik tunggang agama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada program sesi ramah mesra Perdana Menteri bersama pengurusan tertinggi dan pengurus FELDA 2026 di Bangi pada 21 Ogos 2026. Foto PMO
BANGI, 21 Ogos – Isu berkaitan pelaburan dibuat FELDA dalam syarikat Eagle High Plantations TPK (EHP) di Indonesia, mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutus surat kepada Presiden Prabowo Subianto bagi meminta pemimpin negara itu membantu menelitinya dengan jelas.
Perdana Menteri berkata, kes membabitkan EHP antara contoh kes pelaburan mencatatkan kerugian hingga berbilion ringgit yang tidak sepatutnya berlaku lagi.

“Isu yang dibangkitkan membabitkan hotel di London atau Kuching, itu masalah kecil. Isu yang paling besar termasuk pelaburan di Indonesia membabitkan EHP yang sekarang tersangkut di mahkamah.
“Saya sudah menulis surat kepada Presiden Prabowo meminta beliau melihat juga permasalahan ini. Kerugian kalau tidak ditangani, (adalah) RM2.5 bilion, yang mungkin kita peroleh nanti hanya RM200 juta. Ini satu contoh,” katanya.

Anwar menjelaskan perkara itu pada sesi ramah mesra Perdana Menteri bersama pengurusan tertinggi dan pengurus FELDA, di sini, hari ini.
FELDA pada 2016 terbabit dalam pelaburan bernilai kira-kira RM2.3 bilion dalam syarikat perladangan EHP.

Pada Jun 2024, Tribunal Pusat Timbangtara Antarabangsa Singapura (SIAC) membuat keputusan yang memihak kepada anak syarikat FELDA, FIC Properties Sdn Bhd (FICP) membabitkan tuntutan Put Option terhadap 37 peratus pegangan saham dalam EHP.
Berdasarkan keputusan itu, tribunal mengarahkan salah satu atau kedua-dua, PT Rajawali Capital International (RCI) dan PT Rajawali Corpora (RC) untuk menjalankan tanggungjawabnya di bawah Put Option dengan membeli kembali saham EHP pada harga atau kadar dipersetujui daripada FICP.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan Parlimen pada Oktober 2025, arahan timbang tara terbabit masih belum selesai dilaksanakan.
Peguam dan pemerhati politik, Liyana Marzuki akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang didakwa menyebarkan fitnah membabitkan dirinya, termasuk perkara berkaitan akidah.
Menerusi hantaran di Facebook, Liyana berkata beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan segera terhadap semua pemilik akaun yang dikenal pasti terlibat menyebarkan fitnah terhadapnya.
Menurutnya, tindakan itu perlu diambil kerana dakwaan yang disebarkan membabitkan perkara yang tidak pernah diucap atau dipercayainya, selain menjejaskan maruah dirinya dan keluarga.
“Kalau dah fitnah melibatkan akidah dan perkara yang saya tak pernah ucap dan percaya, saya perlu bertindak. Ini maruah saya dan keluarga.
“Tidak boleh kompromi. Tambah dengan budaya ekstrim yang dipromosikan sesetengah pihak. Ini mendatangkan bahaya kepada saya dan anak-anak.
“Saya sudah mengarahkan peguam saya mengambil tindakan undang-undang segera kepada semua profile di bawah,” katanya.
Liyana berkata laporan polis juga akan dibuat berhubung perkara itu, termasuk berkaitan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Beliau berkata pihaknya sudah mengenal pasti pemilik akaun yang didakwa terlibat, termasuk beberapa individu yang dikenalinya secara peribadi.
“Saya takkan berdiam diri. Diam seorang wanita tak semestinya boleh ditohmah dan dibuli. In sya Allah, kami akan bangkit melawan hingga garis akhir,” katanya.
Terdahulu tular poster Liyana dengan kapsyen pada gambar “Pas amal takfiri, minta saya pakai tudung sedangkan Islam tak wajib tutup aurat”.

Abdul Hadi dipecayai sudah memberikan kenyataannya kepada polis di Kuala Lumpur minggu lalu.
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Bekas Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang dirakam keterangannya oleh polis berhubung salah satu artikel diterbitkan Presiden Pas itu.
Perkara itu disahkan Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Sulaiman dengan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sudah memberikan kenyataannya di Kuala Lumpur minggu lalu.
Ekoran itu, polis melancarkan siasatan terhadap Abdul Hadi susulan laporan yang dibuat individu yang didakwa penyokong DAP.
“Beberapa laporan telah dibuat oleh penyokong DAP terhadap salah satu artikel Hadi,” katanya.
Syahir bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus artikel yang dimaksudkan, namun dipercayai ia salah satu tulisan Hadi yang diterbitkan di bawah kolum ‘Minda Presiden Pas’.
Untuk rekod, pada 4 Mac tahun lalu, Abdul Hadi pernah dirakam keterangan susulan artikel bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan”.
Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keterangan Abdul Hadi dirakam di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut pada 2.30 petang.
Menurutnya, pegawai khasnya sudah memaklumkan keadaan kesihatan beliau kepada polis dan menetapkan keterangan diambil.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Dihormati (DK) oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada majlis pengurniaan darjah kebesaran diraja Brunei di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan pada 22 Ogos 2026. Foto PMO
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Dihormati (DK) daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, hari ini.
Anugerah yang membawa gelaran Dato Laila Utama itu dianugerahkan kepada kerabat terdekat, ketua negara, ketua kerajaan, atau pembesar luar negara.
Penganugerahan itu sebagai penghormatan hubungan dua hala kepada pembesar negeri atau tokoh yang memegang jasa bakti amat besar kepada sultan dan negara.

Istiadat penganugerahan darjah itu yang berlangsung di Istana Nurul Iman di sini, disaksikan tiga putera Sultan Brunei iaitu Pengiran Muda Mahkota, Al-Muhtadee Billah; Pengiran Muda Abdul Malik dan Pengiran Muda Abdul Mateen.
Turut hadir pada istiadat yang berlangsung di Cheradi Ratna Kenchana, Istana Nurul Iman itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pemimpin Malaysia lain yang pernah menerima anugerah sama ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud.

Anwar yang tiba di sini, petang semalam mengadakan lawatan kerja dua hari ke Brunei bagi menghadiri Mesyuarat Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 (ALC-27) bersama Sultan Brunei di Istana Nurul Iman.
Beliau kemudian mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei bagi membincangkan beberapa isu termasuk jerebu rentas sempadan, sempadan darat dan laut, sektor tenaga serta kemudahan laluan penduduk Brunei ke Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri dan Sultan Brunei juga menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kerjasama Pengurusan Bencana yang akan ditandatangani menteri berkaitan kedua-dua negara.

Selepas kunjungan terakhirnya ke Malaysia kira-kira dua tahun lalu, Sheikh al-Azhar al-Sharif, Prof. Dr. Ahmad al-Tayyeb menyatakan hasrat untuk kembali mengunjungi negara ini.
Hasrat itu bukan sekadar soal kunjungan, sebaliknya membuka ruang kepada usaha baharu Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan institusi Al-Azhar serta memperluas kerjasama dalam menyuburkan gagasan Islam.
Perkara itu disentuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbualannya bersama Setiausaha Agung Majlis Hukama Muslimin, Mohamed Abdelsalam, malam tadi.
Dalam perbualan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan beberapa ikhtiar baharu khususnya dalam memperkukuh hubungan Malaysia dengan Al-Azhar, selain menyuburkan gagasan Islam yang sederhana, bebas dan berwibawa.
Anwar berkata, beliau amat menghargai persahabatan, dukungan dan kepercayaan yang dizahirkan Mohamed Abdelsalam serta Sheikh al-Azhar al-Sharif.
“Saya amat menghargai persahabatan, dukungan dan kepercayaan yang dizahirkan Mohamed Abdelsalam serta Sheikh al-Azhar al-Sharif.
“Saya juga tersentuh dengan penghargaan yang diberikan buat Azizah sebagai sosok wanita teladan atas keteguhan, kesetiaan dan pengorbanannya sepanjang mendampingi perjuangan saya.
“Insya-Allah, segala ikhtiar dan kerjasama ini akan terus diperkukuh demi kemaslahatan umat dan kesejahteraan sejagat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam perbualan itu, Mohamed Abdelsalam turut bertanyakan khabar serta menitipkan doa susulan keadaan kesihatan Anwar baru-baru ini.
Anwar pula mengambil kesempatan mendoakan kesembuhan dan keafiatan segera buat isteri Mohamed Abdelsalam yang kini menerima rawatan di hospital.
Satu perkongsian mengenai pengalaman membesar dalam keluarga yang kuat dengan politik Pas menarik perhatian apabila penulisnya mendakwa perbezaan parti suatu ketika dahulu bukan sekadar soal politik, tetapi dianggap sebagai perbezaan pegangan agama.
Abied Abdullah menerusi tulisan bertajuk “Saya Membesar Dalam Luka Takfiri” mendakwa pengalaman tersebut bukan cerita yang didengarnya daripada orang lain, sebaliknya sesuatu yang berlaku dalam kehidupan dan keluarganya sendiri.
Menurutnya, keluarganya dibentuk oleh doktrin politik yang begitu kuat sehingga perbezaan sokongan parti akhirnya memberi kesan kepada hubungan kekeluargaan.
Lebih menyedihkan, beliau mendakwa pernah menyaksikan bapanya tidak bertegur sapa dengan adik perempuannya sendiri hanya kerana seorang menyokong Pas manakala seorang lagi menyokong Umno.
“Keluarga terbelah. Silaturahim terputus,” tulisnya ketika menggambarkan kesan pertentangan politik tersebut.
Malah, poster yang mengiringi perkongsian itu turut menyenaraikan dakwaan pengalaman lebih luas termasuk keluarga berpecah, sembelihan ditolak, solat dipisahkan dan pernikahan dipertikaikan kerana perbezaan politik.
Perkongsian itu menghidupkan kembali perbincangan mengenai kesan budaya takfiri dan politik kafir-mengkafir yang pernah menjadi antara isu paling panas dalam politik Melayu-Islam, khususnya ketika persaingan Pas dan Umno berada pada tahap sangat tegang.
Apa yang menarik, kisah seperti ini muncul ketika hubungan politik Pas dan Umno hari ini tidak lagi berada dalam bentuk permusuhan mutlak seperti dahulu, malah kedua-duanya pernah bekerjasama secara rasmi menerusi Muafakat Nasional.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat: jika dua parti yang pernah bertembung begitu keras akhirnya boleh duduk semeja atas kepentingan politik, bagaimana pula dengan luka dalam keluarga dan masyarakat yang tercetus akibat pertelingkahan politik pada zaman tersebut?
Pengalaman Abied Abdullah menjadi peringatan bahawa pemimpin dan parti politik boleh berubah kawan serta lawan mengikut keadaan, tetapi kesan retorik politik yang dibawa kepada akar umbi kadangkala mengambil masa jauh lebih panjang untuk dipulihkan.
Penahanan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan wang pelaburan dan saham bernilai kira-kira RM190 juta mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan terhadap pihak lain yang mungkin berkaitan.
Bekas CEO berusia lingkungan 60-an itu direman tujuh hari sehingga 27 Ogos selepas SPRM memohon perintah reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH.
Beberapa pihak menyifatkan penahanan berkenaan sebagai permulaan sahaja, dengan seorang netizen berkata, “big boss at the back. this is just a small potato.”
Seorang lagi pula mempersoalkan sama ada hanya seorang individu akan dikenakan tindakan susulan pelbagai isu yang didedahkan dalam laporan RCI, termasuk pelaburan bermasalah yang menyebabkan kerugian besar kepada TH.
Reaksi it muncul ketika laporan RCI yang meliputi tempoh 2014 hingga 2020 mendedahkan pelbagai kelemahan dalam pengurusan kewangan, tadbir urus dan keputusan pelaburan institusi berkenaan.
Laporan it merekodkan kewujudan transaksi mencurigakan serta penyembunyian maklumat dalam aspek tertentu dan mengesyorkan audit forensik terhadap keputusan pelaburan terdahulu.
Antara dapatan paling ketara RCI ialah TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan, sekiranya piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) digunakan sepenuhnya.
RCI turut mendapati kedudukan defisit aset-liabiliti TH meningkat antara 2014 hingga 2017, manakala pendekatan pengagihan keuntungan dalam tempoh berkenaan tidak mematuhi Seksyen 22 Akta Tabung Haji apabila agihan keuntungan sepatutnya dibuat daripada keuntungan sebenar, bukannya dana pendeposit.
Lebih membimbangkan, Bank Negara Malaysia (BNM) dilaporkan telah mengeluarkan lima surat amaran kepada Pengerusi TH dan menteri yang bertanggungjawab berhubung kedudukan kewangan, rizab serta pengurusan kecairan institusi itu.
Dalam tempoh yang turut merangkumi era pentadbiran Barisan Nasional (BN), RCI mengenal pasti 14 pelaburan bermasalah yang dikaitkan dengan kerugian berbilion ringgit.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah berkenaan mengalami kerugian 100 peratus nilai pelaburan, termasuk Al-Rawda bernilai RM1.8 bilion, Putrajaya Perdana RM193 juta dan Trurich Resources RM364 juta.
Justeru, penahanan terbaharu itu dilihat rakyat sebagai peluang untuk SPRM meneliti secara menyeluruh siapa yang bertanggungjawab terhadap keputusan-keputusan terdahulu, termasuk sama ada terdapat unsur rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan yang boleh diambil tindakan mengikut undang-undang.
Bagaimanapun, perintah reman hanyalah bagi memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan dan tidak bermaksud individu berkenaan telah didapati bersalah.
Setakat ini, SPRM dilaporkan telah menahan lapan individu bagi membantu siasatan berkaitan isu RCI TH, selepas tujuh individu termasuk empat bekas pengurusan kanan TH ditahan sebelum ini.