Peguam dan pemerhati politik, Liyana Marzuki akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang didakwa menyebarkan fitnah membabitkan dirinya, termasuk perkara berkaitan akidah.
Menerusi hantaran di Facebook, Liyana berkata beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan segera terhadap semua pemilik akaun yang dikenal pasti terlibat menyebarkan fitnah terhadapnya.
Menurutnya, tindakan itu perlu diambil kerana dakwaan yang disebarkan membabitkan perkara yang tidak pernah diucap atau dipercayainya, selain menjejaskan maruah dirinya dan keluarga.
“Kalau dah fitnah melibatkan akidah dan perkara yang saya tak pernah ucap dan percaya, saya perlu bertindak. Ini maruah saya dan keluarga.
“Tidak boleh kompromi. Tambah dengan budaya ekstrim yang dipromosikan sesetengah pihak. Ini mendatangkan bahaya kepada saya dan anak-anak.
“Saya sudah mengarahkan peguam saya mengambil tindakan undang-undang segera kepada semua profile di bawah,” katanya.
Liyana berkata laporan polis juga akan dibuat berhubung perkara itu, termasuk berkaitan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Beliau berkata pihaknya sudah mengenal pasti pemilik akaun yang didakwa terlibat, termasuk beberapa individu yang dikenalinya secara peribadi.
“Saya takkan berdiam diri. Diam seorang wanita tak semestinya boleh ditohmah dan dibuli. In sya Allah, kami akan bangkit melawan hingga garis akhir,” katanya.
Terdahulu tular poster Liyana dengan kapsyen pada gambar “Pas amal takfiri, minta saya pakai tudung sedangkan Islam tak wajib tutup aurat”.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.