PKR di ambang perpecahan
Bukan rahsia lagi bagi pengamat politik bahawa PKR telah berpecah kepada dua puak yang jelas.
Bekas timbalan presiden dan bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mengetuai blok reformis yang dipimpinnya yang berjumlah sekitar 9–11 ahli parlimen. Kekalahannya kepada Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan timbalan presiden parti pada bulan Mei lalu telah meruncingkan perpecahan tersebut.
Perletakan jawatan Rafizi daripada kabinet – bersama-sama dengan peletakan jawatan Nik Nazmi Nik Ahmad, yang meletak jawatan sebagai menteri sumber asli – menyusul sejurus selepas itu, menandakan kekecewaan peribadi dan teguran terhadap hala tuju parti itu.
Kenyataan Rafizi selepas itu hanya meruncingkan lagi keadaan. Dalam temu bual BFM yang terus terang pada bulan lalu, Rafizi berkata beliau terbuka untuk “melayari kapalnya sendiri” – satu frasa yang ditafsirkan oleh pemerhati politik sebagai petunjuk paling jelas setakat ini bahawa wahana politik baharu mungkin akan hadir apabila pilihan raya umum semakin hampir.
Lebih konfrontatif, Rafizi nampaknya berhasrat untuk membangkitkan semula kontroversi yang menyelubungi ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki – sebuah langkah yang boleh menjejaskan kestabilan perpaduan dalaman PKR dan kredibiliti kerajaan Madani.
Pendek kata, PKR tidaklah dalam keadaan bermasalah; namun tidak dinafikan, ia goyah. Apa yang kita dapat perhatikan bukanlah krisis tetapi letupan yang terkawal: perlahan, disengajakan dan berkemungkinan akan membentuk masa depan parti itu sendiri.
Umno: ketenangan yang mengejutkan
Tanpa diduga, kestabilan datang dari sumber yang tidak dijangka: Umno, parti komponen utama BN dan rakan kongsi utama PH. Walaupun telah bertelagah selama bertahun-tahun, parti itu hari ini kelihatan lebih sehaluan berbanding sebelum ini.
Tindakan paling ketaranya datang pada awal Mac 2026, apabila presiden Umno Zahid Hamidi secara terbuka menyampaikan ucapan “rumah bangsa” sebagai tanda perpaduan kepada bekas ketua sayap pemuda parti dan bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin, dengan menjemput bekas ahlinya itu kembali menyertai parti.
Khairy menjawab secara terbuka dengan segera – di podcastnya Keluar Sekejap – dengan mengarahkan setiausaha akhbarnya untuk “mula merangka” permohonan kemasukan semula secara rasmi, yang kemudian dikemukakannya pada pertengahan Mac.
Simbolismenya tidak dapat disangkal: Umno, yang kalah teruk tetapi pragmatik, sedang bersedia untuk terus bertahan dalam pilihan raya, dan Khairy sekali lagi menjadi tumpuan utama dalam strateginya itu.
Penganalisis menyatakan bahawa dengan mengalu-alukan kepulangannya, Umno memberi isyarat kesediaan untuk menentukur semula haluannya dalam menghadapi pilihan raya umum yang semakin hampir.
Ia suatu ironi: pada saat PKR menunjukkan keretakan, Umno pula menuju perdamaian.
Usaha sama dari Borneo
Sementara itu, di seberang Laut China Selatan, rakan kongsi Madani di Malaysia Timur – GRS dan GPS – terus memainkan peranan mereka sebagai penstabil.
Sokongan mereka sebahagian besarnya kekal teguh, didorong oleh kepentingan bersama dalam pembangunan dan isu hak Perjanjian Malaysia 1963 yang berterusan dan belum selesai.
Sikap mereka amat pragmatik: cukup mantap dalam menyokong kerajaan persekutuan, namun cukup tegas untuk mengingatkan Putrajaya tentang kewajipan perlembagaan yang telah lama termaktub dalam MA63.
Dalam soal ini, Sabah dan Sarawak kekal menjadi sauh yang menenangkan bagi gabungan ini – berlawanan dengan parti yang berpengkalan di semenanjung yang goyah.
Bersatu yang luka sendiri
Jika PKR kelihatan berpecah belah, parti utama pembangkang, Bersatu, pula berada dalam keadaan kucar-kacir.
Pada Februari 2026, parti itu memecat 17 ahli, termasuk timbalan presiden Hamzah Zainudin, empat ahli parlimen dan dua ahli dewan undangan negeri. Pembersihan ini dilaporkan dicetuskan oleh percubaan dalaman untuk menggulingkan presiden partinya, Mahiaddin.
Pemecatan ahli parti itu mencetuskan gelombang peletakan jawatan dan pembubaran beberapa cawangan parti, menandakan perebutan kuasa yang telah mencapai tahap yang tidak dapat didamaikan.
Pemecatan Hamzah juga mengganggu kestabilan gabungan PN yang lebih luas, memandangkan peranannya sebagai Ketua Pembangkang.
Dengan Bersatu berpecah-belah dan kehilangan tokoh kanannya, Pas kini muncul sebagai pemimpin de facto gabungan itu, menguasai bahagian terbesar kerusi pembangkang di Parlimen dan memegang peranan kepimpinan yang pernah dipegang oleh rakan sekutunya yang bermasalah.
Apa yang mendatang
Tinjauan ringkas ini hanya menyentuh permukaan ketegangan politik yang dihadapi oleh kerajaan campuran Madani.
Bagi kerajaan pimpinan Anwar, ancaman paling mendesak bukan datang dari kerusi pembangkang tetapi dari dalam partinya sendiri.
Menjelang pilihan raya, kestabilan gabungan akan bergantung pada sama ada PKR dapat menutup keretakan dalaman mereka – atau barangkali parti baharu Rafizi yang mungkin menjadi pemangkin kepada penjajaran semula seterusnya.
Politik gabungan, secara semula jadinya, mudah berubah dan terdedah kepada ketidakstabilan.
Namun, beberapa dekad pengalaman sepatutnya mengajar kita bahawa ketidakstabilan politik jarang sekali berlaku secara tidak sengaja. Selalunya, tingkah laku pemimpin politik itu sendiri yang memperdalam perpecahan dan mempercepatkan kejatuhannya.
Malangnya, corak ini berterusan. Menyoroti sejarah gabungan politik di Malaysia menunjukkan bahawa pemimpin kerap menjadi punca kepada bukannya penyelesaian tetapi ketidakstabilan, yang kononnya mereka sendiri kecam.
Dinamika semasa di bawah kerajaan Madani menunjukkan bahawa kitaran ini jauh daripada terputus. Gabungan itu mungkin kelihatan stabil, namun ia masih jauh daripada kukuh, serta ketegangan yang mendasarinya memang tidak dapat disangkal.
Memandangkan trend yang kita saksikan hari ini – daripada keretakan dalaman parti kepada peralihan pakatan dan persaingan kepimpinan – tidak hairanlah jika Malaysia sekali lagi mendapati dirinya berhadapan dengan sebuah parlimen tergantung selepas pilihan raya umum yang akan datang.
Cabaran bagi golongan elit politik adalah jelas: melainkan para pemimpin sanggup mengatasi nafsu berpuak-puak dan cita-cita peribadi, politik gabungan akan kekal sebagai sebuah kitaran dan bukannya asas untuk tadbir urus jangka panjang.
Johan Saravanamuttu
Editor bersama, surat berita Aliran
20 Mac 2026
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme