
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari bersama Khoo Poay Tiong (dua dari kanan) ketika sidang media harian PH di Bukit Piatu pada 1 November 2026.
MELAKA, 1 Nov – Perkhidmatan awam terbaik serta calon-calon berpengalaman menjadi taruhan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mencapai sasaran memenangi 18 daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Ini termasuk bekas Exco kerajaan negeri, aktivis politik, pegawai kerajaan serta setiausaha politik yang dipilih PH sebagai tawaran realisitik pakatan itu yang pernah memerintah negeri ini antara 2018 hingga 2020.

Menurut Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, kemampuan calon di kawasan masing-masing menjadi satu daripada tiga faktor utama yang dinilai dalam menetapkan sasaran berkenaan, selain kekuatan jentera parti dan tahap sokongan rakyat.
Selain mempertahankan lima kerusi DUN yang dimenangi pada PRN 2021, PH kini meningkatkan kemampuan untuk menguasai 13 kerusi lagi namun kerusi manakah yang disasarkan tidak diumumkan sehinggalah tiba saat yang sesuai.
“Ada calon yang memiliki pengalaman, ada calon yang walaupun baru, tapi ada sebahagiannya memang mempunyai pengalaman di pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Ada juga calon yang ada pengalaman dalam pentadbiran kerajaan termasuk di kerajaan Persekutuan, selain bekas anggota perkhidmatan awam,” katanya pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama PH, di sini, hari ini.
Beliau yang juga calon bagi kerusi DUN Bukit Katil, berkata, PH amat mengambil berat soal sokongan semasa rakyat di kawasan yang bakal ditandingi sebagai sebahagian daripada penilaian sebelum menetapkan sasaran kemenangan itu.
Ahli Parlimen Alor Gajah itu menambah, pakatan itu tetap memberi penekanan kepada usaha mendekati rakyat, mendengar masalah mereka serta mengangkat isu yang boleh diselesaikan melalui saluran kerajaan.
Sementara agensi kerajaan masih berfungsi seperti biasa dan isu yang boleh diselesaikan segera perlu diambil tindakan tanpa menunggu PRN berakhir dan turut dipersetujui Pengerusi DAP Melaka yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan menegaskan, proses pilihan raya tidak sepatutnya menjadi penghalang atau menghentikan kelangsungan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, khususnya bagi urusan yang memerlukan tindakan berperingkat.
Ia membabitkan tiga parti komponen iaitu 10 calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), manakala DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing tujuh calon.




No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.