Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil menjelaskan bahawa perbuatan mencuci kuil oleh orang Islam bukanlah suatu bentuk ibadah.
Namun tindakan itu, tegas beliau tetap mempunyai batas dari sudut hukum syarak kerana melibatkan tempat penyembahan agama lain.
Menurutnya, walaupun kerja pembersihan tersebut tidak dianggap sebagai ibadah, ia boleh membawa maksud membantu kegiatan keagamaan yang ditegah dalam Islam.
“Memang mencuci kuil bukan beribadah, namun ia memberi erti menolong ke arah sesuatu yang dicegah, di mana ia merupakan tempat penyembahan agama lain,” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebook pagi ini.
Menurut Ahmad Fauwaz, umat Islam tidak boleh mencampuri urusan keagamaan penganut agama lain, khususnya perkara yang berkaitan dengan tempat penyembahan mereka.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada melakukan kebaikan terhadap masyarakat bukan Islam selagi bantuan tersebut tidak berkaitan dengan syiar keagamaan mereka.
“Namun berbakti kepada bukan Islam yang bukan bersifat syiar agama mereka, ia adalah perkara terpuji dan dibolehkan,” jelasnya tanpa menyebut secara khusus insiden yang dimaksudkan.
Ketetapan syariat
Namun, sejak beberapa hari lalu, tular rakaman video memaparkan sekumpulan individu termasuk orang Islam bergotong-royong mencuci sebuah kuil Hindu di Jalan Dato Keramat, George Town, Pulau Pinang.
Aktiviti pada 8 Oktober lalu itu dikatakan melibatkan kakitangan berbilang kaum daripada sebuah hotel di George Town, Pulau Pinang sempena penganjuran program tanggung jawab sosial korporat (CSR).
Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang, Mohd Sukki Othman turut mengingatkan umat Islam supaya mengelakkan penglibatan dalam aktiviti membersihkan rumah ibadat agama lain walaupun atas alasan gotong-royong dan hubungan baik antara masyarakat.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa Islam tidak melarang umatnya menjalinkan hubungan harmoni serta berbuat baik kepada masyarakat berlainan agama, namun setiap tindakan perlu berpandukan ketetapan syariat.
Malah, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pernah menerbitkan penjelasan pada Januari 2022 yang menyatakan bahawa umat Islam ditegah daripada menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan rumah ibadat agama lain.
Penjelasan itu turut menegaskan bahawa larangan berkenaan tidak harus disalahertikan sebagai larangan membantu masyarakat bukan Islam yang ditimpa musibah atau memerlukan pertolongan.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.