Cadangan Perjanjian Kepercayaan dan Pembekalan (CSA) antara kerajaan Selangor dengan Bersatu berpotensi menjadi langkah awal kepada kerjasama politik lebih luas, termasuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang.
Timbalan Ketua AMANAH Selangor, Azli Yusof, berkata partinya menyambut baik cadangan itu sebagai usaha memperkukuh sokongan terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH), meskipun rundingan pembahagian kerusi pilihan raya memerlukan perbincangan lebih mendalam.
“Mungkin boleh jadi sampai ke peringkat itu tetapi saya rasa yang lebih penting sekarang adalah CSA.
“Pilihan raya itu mungkin lebih rumit dan perlukan perbincangan lebih mendalam, dari segi pembahagian kerusi dan lain-lain,” katanya.
Memetik laporan portal Malaysiakini, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata keputusan mengenai kerjasama pilihan raya juga memerlukan pertimbangan di peringkat pusat, bukan hanya antara parti di Selangor.
Bagaimanapun, beliau menganggap CSA sebagai permulaan yang baik, terutama susulan perkembangan positif rundingan antara Bersatu dengan kerajaan negeri seperti didedahkan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merangkap Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin.
Afif sebelum ini dilaporkan berkata bahawa cadangan perjanjian itu bukan sekadar berkaitan peruntukan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), malah boleh membuka ruang kepada penglibatan lebih besar Adun Bersatu dalam proses membuat keputusan di peringkat negeri.
Azli berkata AMANAH mengalu-alukan sokongan Bersatu terhadap pentadbiran negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, dan berharap rancangan kerajaan negeri dapat diterima dengan baik.
Menurutnya, sokongan itu juga memberi gambaran bahawa pentadbiran PH di Selangor mendapat dukungan lebih luas daripada wakil rakyat, termasuk di luar gabungan yang membentuk kerajaan negeri.
Beliau turut memaklumkan bahawa dirinya dijangka mewakili AMANAH dalam rundingan CSA, dengan perbincangan terperinci dijangka berlangsung sebelum persidangan DUN Selangor pada pertengahan November.
Cadangan itu muncul ketika hubungan PH dengan Umno dan BN, rakan sekutu dalam kerajaan persekutuan serta Selangor, dilaporkan tegang, manakala hubungan Bersatu dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) turut berdepan konflik.
Azli berkata perubahan landskap politik itu mungkin membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk mencari titik persamaan demi kepentingan negeri.
“Disebabkan adanya konflik dalam PN, Bersatu juga mungkin memerlukan sokongan kerajaan negeri.
“Jika kedua-dua pihak boleh mencapai kesepakatan, ia akan membawa kebaikan kepada negeri Selangor,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya AMANAH, Sany Hamzan, turut menyokong cadangan CSA, namun mengingatkan bahawa peluasan kerjasama kepada pilihan raya akan membawa cabaran lebih besar, khususnya dalam pembahagian kerusi.
Ahli Parlimen Hulu Langat itu berkata rundingan perlu berasaskan prinsip menang-menang, dengan kedua-dua pihak mengambil kira kerusi yang dimenangi serta kawasan yang berpotensi ditandingi.
Sany juga menyambut baik kemungkinan kerjasama itu menghasilkan majoriti dua pertiga di DUN Selangor, yang menurutnya boleh membuka ruang kepada perubahan termasuk persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Kerajaan Selangor kini mempunyai sokongan 35 daripada 56 Adun, terdiri daripada 32 wakil PH, dua daripada BN dan seorang wakil bebas. Bersatu pula mempunyai 11 kerusi; sokongan semua wakilnya akan meningkatkan jumlah sokongan kepada 46 Adun, melepasi ambang 38 kerusi yang diperlukan untuk majoriti dua pertiga.
Bagaimanapun, sama ada CSA itu akan kekal sebagai perjanjian sokongan pentadbiran atau berkembang menjadi kerjasama pilihan raya masih bergantung pada rundingan dan keputusan kepimpinan parti masing-masing.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.