Jadi kemelut ini bukan semudah siapa sokong siapa



 Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz menegaskan proses menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bukan sesuatu yang boleh dilakukan hanya dengan berkumpul kemudian membuat keputusan.





Menurut Shamrahayu, Undang Yang Empat sememangnya mempunyai kuasa yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, tetapi kuasa itu tetap tertakluk kepada proses dan tatacara tertentu.


“Tak boleh sesuka hati berkumpul dan kemudian membuat keputusan untuk memecat atau menurunkan seseorang. Mesti ada satu proses yang dinamakan enquiry,” katanya.


Menurut beliau, ‘enquiry’ atau pemeriksaan itu antaranya melibatkan persoalan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar untuk dijawab dalam proses tertutup.


Shamrahayu berkata pihak Undang mendakwa proses tersebut telah dilakukan. Namun perkara penting sekarang ialah sama ada proses itu dapat dibuktikan benar-benar berlaku mengikut kehendak Undang-Undang Tubuh Negeri.


“Kalau dibuktikan proses enquiry itu telah berlaku, maka keputusan atau proklamasi pihak Undang itu adalah sah,” katanya.


Beliau turut menjelaskan proklamasi berkenaan memerlukan tandatangan Menteri Besar sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 10.


Isu itu menjadi lebih rumit apabila proklamasi bertarikh 19 April tersebut dilaporkan hanya ditandatangani Menteri Besar Datuk Ismail Lasim pada 3 Ogos — sehari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Tuanku Muhriz.


Ismail kemudian mendakwa tandatangan itu dibuat tanpa rela hati dan secara paksaan, manakala peguam mewakili pihak Undang menafikan dakwaan tersebut.


Dalam perkembangan terdahulu, Jabatan Peguam Negara pula berpandangan Proklamasi 19 April itu tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak mandatori Perkara 10 dan menegaskan kedudukan Yang di-Pertuan Besar tidak boleh ditamatkan secara unilateral oleh Menteri Besar atau MMKN.


Jadi kemelut ini bukan semudah siapa sokong siapa.


Kuasa memang ada.


Tetapi seperti ditegaskan Shamrahayu, prosesnya mesti dipatuhi — dan sekarang persoalan besarnya ialah sama ada proses itu benar-benar dapat dibuktikan.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.