TOKOH AKAUNTAN PERSOAL MADINAH: KALAU LAPORAN AUDIT DAH LENGKAP, APA LAGI RCI PERLU DENGAR?







KUALA LUMPUR — Penjelasan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad bahawa dapatan RCI Tabung Haji mungkin berbeza kalau beliau dipanggil memberi keterangan kini dipersoalkan oleh akauntan kanan, Dato’ Khalid Ahmad.


Khalid, bekas Presiden Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia, kata dalam dunia audit, segala pandangan, kebimbangan dan pendirian profesional juruaudit sepatutnya sudah ada dalam laporan audit itu sendiri.


Sebab itu beliau mempersoalkan: kalau Madinah merasakan ada penjelasan tambahan yang boleh mengubah pandangan RCI, apa sebenarnya yang tidak dimasukkan dalam laporan audit tersebut?


Khalid turut bertanya sama ada terdapat perkara tertentu yang “disimpan” atau “dirahsiakan”. Bagi beliau, apabila laporan audit sudah dikeluarkan, itulah pendirian rasmi dan muktamad juruaudit.


Beliau juga tidak bersetuju kalau RCI dipersalahkan kerana tidak memanggil Madinah. Katanya, RCI hanya boleh menilai apa yang ada di depan mereka. Kalau sesuatu perkara penting tidak ada dalam laporan, bagaimana suruhanjaya hendak tahu?


Madinah memang pernah menyatakan beliau bersedia dipanggil RCI. Khalid mengakui itu hak beliau. Tetapi keputusan sama ada keterangannya diperlukan atau tidak tetap terletak pada suruhanjaya.


Khalid kemudian mempersoalkan satu lagi perkara: kalau benar ada maklumat penting yang belum diketahui, mengapa baru sekarang ia dibangkitkan, hampir 10 tahun kemudian? Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai “sangat pelik”.


Dalam masa sama, Khalid turut menyentuh hujah Madinah bahawa audit Jabatan Audit Negara tidak menemui bukti “sakau” atau kecurian.


Katanya, itu bukan isu utama yang dipersoalkan RCI.


Dalam audit, istilah yang biasa digunakan bukan “sakau”, tetapi perkara seperti salah laku, penyelewengan, pecah amanah, pakatan sulit, salah nyata kewangan dan kegagalan tadbir urus.


Apa yang RCI persoalkan ialah bagaimana TH masih boleh menerima clean opinion bagi penyata kewangan 2017 sedangkan terdapat isu besar melibatkan impairment, kaedah perakaunan dan kedudukan sebenar kewangan TH.


Madinah sebelum ini mempertahankan keputusan Jabatan Audit Negara memberikan pendapat tanpa teguran kepada TH dengan dua perenggan Emphasis of Matter. Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan bukti audit dan piawaian pengauditan yang terpakai.


Namun RCI berpandangan Jabatan Audit Negara tidak sepatutnya mengambil kira kebimbangan tentang keyakinan pendeposit dalam menentukan bentuk pendapat audit kerana perkara itu berada di luar skop audit.


RCI turut mendapati TH melaporkan keuntungan sekitar RM3.4 bilion pada 2017, sedangkan jika piawaian pelaporan kewangan digunakan sepenuhnya, kedudukannya sepatutnya menunjukkan kerugian bersih sekitar RM1.4 bilion.


Jurangnya hampir RM4.8 bilion.


RCI juga berpandangan isu yang hanya diletakkan sebagai Emphasis of Matter itu sebenarnya cukup serius sehingga TH tidak sepatutnya menerima clean opinion bagi tahun tersebut.


Jadi teguran Khalid kepada Madinah sebenarnya mudah.


Bukan soal ada “sakau” atau tidak.


Soalnya: kalau laporan audit itu memang lengkap dan sudah mewakili seluruh pandangan profesional juruaudit, apa lagi yang hanya boleh diketahui RCI kalau Madinah dipanggil?





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.