Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan jawapan bertulis menteri berhubung tujuh pelaburan bermasalah Tabung Haji yang mengalami kerugian sepenuhnya.
Menurut jawapan tersebut, tujuh pelaburan berkenaan telah dibuat rosot nilai 100 peratus dengan jumlah kerugian mencecah RM2.581 bilion.
Pelaburan Al-Rawda Real Estates merekodkan kerugian terbesar, iaitu RM1.864 bilion, diikuti Trurich Resources Sdn Bhd sebanyak RM364.31 juta dan Putrajaya Perdana Berhad sebanyak RM193.49 juta.
Empat lagi pelaburan ialah Al-Fareeda Residential Fund dengan kerugian RM82 juta, Abraj Sdn Bhd RM40.23 juta, Emrail Sdn Bhd RM19.3 juta dan Wellspring Worldwide Ltd RM18 juta.
Syed Saddiq berkata, lebih RM1.5 bilion dibayar terlebih dahulu kepada Al-Rawda yang bertindak sebagai orang tengah tanpa jaminan bank yang mencukupi.
Menurutnya, perlindungan Tabung Haji hanya bergantung kepada nota janji yang dijamin secara peribadi, manakala manfaat penginapan untuk jemaah tidak diterima seperti dirancang dan kutipan sewa pula terhenti selama bertahun-tahun.
“Kalau baca, memang naik darah. Berbilion dibayar tetapi tiada hasil,” katanya.
Inilah antara persoalan besar yang sepatutnya dibahaskan oleh semua Ahli Parlimen, bukan ditinggalkan hanya kerana Perdana Menteri tidak hadir.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.