Skandal Jana Wibawa: Mahkamah Tinggi Bakal Sambung Bicara Rabu, Khamis Ini

 


Perbicaraan kes Jana Wibawa membabitkan Muhyiddin Yassin bersambung pada 26 dan 27 Ogos 2026. Foto arkib pada 10 Julai 2026

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Sejurus cuti Maulidur Rasul 1448 Hijrah yang akan disambut Selasa ini, perhatian seluruh negara akan tertumpu pada Rabu dan Khamis ini apabila Mahkamah Tinggi di sini bakal menyambung perbicaraan kes Janawibawa melibatkan tujuh pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Prosiding dua hari itu dijadual didengar di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin yang dijangka panas dengan keterangan saksi penting yang bakal merungkai isu berkaitan program berkenaan.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-25, Datin Rosni Mohd. Yusoff yang antara lain memberitahu Kementerian Kewangan mendapat arahan daripada `pihak atasan’ berhubung pemprosesan permohonan projek Janawibawa.

Muhyiddin, 78, berdepan tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa di bawah pentadbirannya antara 2020 hingga 2021. Foto Ezzati Azmi

Beliau yang ketika itu Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan berkata, arahan itu diberikan kepada ketuanya yang juga Setiausaha Bahagian, Datuk Zamzuri Abdul Aziz supaya hanya memproses permohonan syarikat yang disyorkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Katanya, selain itu, PMO turut mengarahkan kementerian menjalankan penilaian semula terhadap KCJ Engineering Sdn. Bhd. sebelum dilantik sebagai kontraktor bagi Projek Membina Jalan Baharu Menyambung Felda Bukit Jalor ke Gemas, Negeri Sembilan.

Sebelum itu, Rosni yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Kontraktor Program Janawibawa berkata, syarikat itu lulus dua penilaian, namun ‘sangkut’ di peringkat ketiga kerana mempunyai projek ‘sakit’ dan prestasi kerja semasa yang tidak memuaskan.

Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta.

Ia berkaitan Projek Janawibawa melibatkan empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.