Cuti Peristiwa Jika Selangor Juara SUKMA Mungkin Diumum Malam Esok

Maklumat poster tersebar di media sosial kononnya cuti peristiwa pada 24 Ogos 2026 adalah palsu.
SHAH ALAM, 23 Ogos – Cuti peristiwa jika Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hanya akan diumumkan pada malam esok (24 Ogos).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan perkara berkenaan menerusi hantaran di media sosial milik beliau, susulan tular satu sebaran palsu yang mendakwa kononnya esok adalah cuti umum di negeri itu.
“Insya-Allah, sebarang pengumuman rasmi berkenaan Cuti Umum Peristiwa (sekiranya ada) hanya akan dibuat pada Majlis Penutup Kejohanan SUKMA 2026 pada malam esok (bermula jam 8 malam).
“Segala sebaran atau pengumuman yang berlaku sebelumnya adalah palsu dan tidak benar sama sekali. Harap maklum dan mohon bersabar.
“Hari Isnin, 24 Ogos 2026, adalah kekal hari bekerja di Selangor,” katanya dalam hantaran ringkas itu.
Sebaran palsu itu dikatakan tular sehingga mencetuskan tanda tanya, terutama dalam kalangan warga Selangor, berhubung kesahihannya.
Terdahulu, media melaporkan Kerajaan Selangor akan mempertimbang untuk memberi cuti peristiwa, sekiranya kontinjen negeri berjaya menjadi juara keseluruhan temasya SUKMA Selangor 2026.
EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, dipetik berkata perkara itu akan dimuktamadkan selepas keputusan kutipan pingat keseluruhan diperoleh pada malam esok.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.