Warga Indonesia terkejut gaji guru Malaysia boleh cecah lima angka

 




Perbincangan mengenai gaji guru di Malaysia dan Indonesia menjadi tular di media sosial selepas seorang netizen Indonesia meluahkan rasa kagum terhadap penghargaan yang diberikan kerajaan Malaysia kepada golongan pendidik.

Menerusi satu hantaran, individu itu mengakui terkejut guru di sekolah kerajaan Malaysia yang telah berkhidmat lebih 20 tahun boleh menerima gaji sekitar RM10,000 hingga RM12,000 sebulan.

“Di Malaysia, guru di sekolah pemerintah yang sudah kerja sekitar 20 tahun ke atas, gajinya boleh sebesar RM10,000-RM12,000 (sekitar Rp44 juta hingga Rp53 juta). Semulia itu Malaysia menghargai warganya,” tulisnya.

Hantaran tersebut dengan cepat menjadi perhatian rakyat ketika sedang hangat isu seorang guru di Indonesia yang dikatakan hanya menerima pencen sekitar RM100 selepas berpuluh-puluh tahun berkhidmat.

Ruangan komen dibanjiri reaksi rakyat Malaysia yang mengakui sektor pendidikan sentiasa diberikan perhatian dalam pembentangan belanjawan negara.

Seorang pengguna, Shafiz Young berkata, sektor pendidikan dan kesihatan merupakan dua bidang utama yang sering diberikan keutamaan oleh kerajaan.

“Benaran. Di Malaysia, sektor pendidikan & kesihatan merupakan dua sektor yang sangat penting dalam mendorong kemajuan negara. Karena itu, setiap kali anggaran negara dibentangkan, dua sektor ini sering menjadi perhatian dari segi peningkatan kesejahteraan dan pemberian insentif sebagai bentuk penghargaan atas jasa besar mereka kepada masyarakat,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Olie Go Cheng, berkongsi pengalaman rakannya yang merupakan seorang guru.0

“Kawan saya cikgu, baru kerja 17 tahun pun dah RM9,000++. Lagi 13 tahun sahaja untuk berkhidmat. Keseluruhannya 30 tahun perkhidmatan boleh capai lebih RM15,000. Pension will get 60% of basic salaries,” tulisnya.

Roses Myna pula meluahkan rasa sedih selepas membaca perkongsian mengenai gaji akhir seorang guru di Indonesia yang didakwa amat rendah.

“Baca dekat Thread, guru Indonesia yang berkhidmat 40 tahun, gaji akhir 420,000 rupiah. Sedihnya seorang pendidik yang bagi ilmu pada manusia lain, gaji tak sampai RM100 sebulan. Buatlah sesuatu warga Indonesia. Bumi kaya tapi rakyat tertindas,” katanya.

Sementara itu, seorang guru di Malaysia, Tamar Thani, berharap profesion perguruan di Indonesia turut diberikan penghargaan yang sewajarnya.

“Saya sebagai guru di Malaysia, menuntut penghargaan yang selayaknya juga buat guru-guru di Indonesia. Angkat martabat profesion keguruan supaya lebih tinggi,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.