Seorang pemuda, Nazri Haris, tampil mengutuskan warkah terbuka kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan nada tegas tetapi penuh hormat.
Anak muda berkenaan mempersoalkan kenyataan terbaharu bekas Pengerusi Bersatu dan Pejuang itu yang cuba memainkan sentimen ketakutan kononnya Tanah Melayu akan hilang jika orang Melayu mengundi parti yang mempunyai gabungan bukan Melayu.
Dalam warkah panjangnya, Nazri terlebih dahulu menzahirkan penghargaan terhadap jasa Tun Mahathir yang menurutnya sentiasa prihatin terhadap nasib bangsa Melayu.
Namun, beliau menegaskan, rakyat khususnya generasi muda Melayu hari ini perlu melihat realiti sebenar dan bukan terus dibayangi retorik politik berasaskan ketakutan.
Menurut Nazri, dakwaan bahawa Tanah Melayu boleh ‘hilang’ hanya kerana orang Melayu menyokong calon atau parti yang mempunyai pemimpin bukan Melayu adalah hujah yang bercanggah dengan sejarah politik yang pernah dibentuk sendiri oleh Tun Mahathir sepanjang kariernya.
Beliau mengingatkan bahawa sepanjang 22 tahun era pemerintahan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Tun Mahathir, pengundi Melayu di banyak kawasan majoriti Melayu diarahkan menyokong calon bukan Melayu dari MCA dan MIC atas nama kestabilan gabungan politik.
Nazri kemudian mempersoalkan mengapa pada waktu itu isu kehilangan Tanah Melayu tidak pernah dibangkitkan.
“Jika benar mengundi calon bukan Melayu boleh menghilangkan Tanah Melayu, mengapa ketika era Barisan Nasional perkara itu tidak pernah disebut?” soal beliau.
Memberi sokongan
Tidak berhenti di situ, Nazri turut mengungkit episod Pilihan Raya Umum ke-14 apabila Mahathir sendiri memimpin Pakatan Harapan (PH), berkempen bersama pemimpin DAP, meminta rakyat termasuk orang Melayu memberi sokongan kepada calon bukan Melayu demi menjatuhkan kerajaan ketika itu.
Beliau turut mengingatkan bahawa selepas kemenangan PH, Mahathir sendiri melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.
“Adakah ketika itu Tun sengaja menggadaikan bangsa Melayu?” tempelaknya lagi dalam warkah tersebut.
Nazri turut menyentuh perkembangan politik semasa apabila parti Pejuang yang diasaskan Tun Mahathir kini menyertai Perikatan Nasional (PN), sebuah gabungan yang turut mengandungi parti bukan Melayu seperti Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan MIPP.

Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada sokongan kepada calon bukan Melayu hanya dianggap selamat apabila Mahathir atau keluarganya berada dalam gabungan tersebut, tetapi menjadi ancaman apabila beliau berada di luar gabungan politik tertentu.
Dalam nada sinis, Nazri berkata, orang Melayu hari ini sudah semakin matang dan mampu membezakan antara nasihat tulen demi bangsa dengan retorik politik yang digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat demi kepentingan tertentu.
Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan Melayu tidak terletak pada kebencian terhadap kaum lain, sebaliknya pada kebijaksanaan berpolitik, perpaduan sesama sendiri dan keberanian menolak manipulasi sentimen sempit.
“Tanah Melayu ini akan terus kekal, bukan dengan cara membenci kaum lain, tetapi dengan orang Melayu sendiri bersatu hati, cerdik berpolitik dan tidak lagi membiarkan diri dimanipulasi,” tegasnya.
Nazri menutup warkah tersebut dengan menegaskan bahawa beliau tetap menghormati jasa Tun Mahathir, namun menyeru agar politik berasaskan ketakutan terhadap bangsa sendiri dihentikan.
“Tanah Melayu kekal selamat, dengan atau tanpa dogma ketakutan,” kata Nazri lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.