
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menyeru rakyat Johor memilih calon PH pada PRU DUN Johor ke-16 pada 11 Julai 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 28 Jun – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, memohon rakyat Johor memberikan kepercayaan kepada barisan calon gabungan itu untuk menerajui pentadbiran negeri berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.
Menerusi hantaran menerusi media sosial hari ini, Perdana Menteri sekali gus menegaskan iltizam PH untuk memikul amanah itu dengan penuh bertanggungjawab dan ia tidak akan sekali-kali disia-siakan.
“Saya merayu dengan penuh rendah hati agar saudara-saudari memberikan mandat kepada calon PH untuk memimpin Johor bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau turut memetik sepotong ayat suci al-Quran daripada Surah An-Nisa membabitkan ayat 58 yang menekankan kepentingan menyampaikan amanah kepada yang berhak serta menegakkan keadilan sesama manusia.
Pada PRU Johor kali ini, PH bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula dari N01 Buloh Kasap di Segamat sehingga N56 Kukup, di Tanjung Piai.
PRU Johor akan berlangsung pada 11 Julai depan, manakala pengundian awal pada 7 Julai dengan lebih 2.7 juta pemilih layak menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi membentuk kerajaan negeri baharu bagi tempoh lima tahun.



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.