Politik sememangnya tidak pernah mengabaikan orang berkecuali. Mahu tidak mahu, politik akan terus menentukan arah kehidupan rakyat. Mereka yang memilih untuk memahami politik memiliki ruang lebih besar untuk mempertahankan hak dan bersuara. Namun orang-orang yang terus menjauhkan diri, akan “dimakan” politik dan menerima segala keputusan yang dibuat oleh orang lain.

Ramai memilih untuk menjauhkan diri daripada politik atas pelbagai sebab. Ada yang menganggap politik sekadar gelanggang perebutan kuasa, sarat fitnah dan percaturan elit. Ada juga yang berpegang bahawa kehidupan harian mereka tetap akan berjalan seperti biasa walau siapa pun yang memegang tampuk pemerintahan. Sikap sedemikian semakin lazim, khususnya dalam kalangan generasi muda yang melihat politik sebagai sesuatu yang melelahkan dan jauh daripada realiti kehidupan mereka.
Hakikatnya, politik tetap hadir dalam setiap relung kehidupan. Ramai merasakan mereka mampu mengelakkan konflik dengan memilih untuk berdiam diri. Namun dalam sebuah negara demokrasi, sikap berkecuali tetap menghasilkan kesan politik. Apabila sebahagian rakyat enggan mengambil tahu atau memilih untuk tidak mengundi, ruang membuat keputusan akhirnya dipenuhi oleh kelompok yang hadir. Keputusan pilihan raya akhirnya tetap menentukan siapa yang akan mentadbir rakyat, termasuk mereka yang memilih untuk tidak mengambil bahagian.
Harga barang keperluan, subsidi bahan api, kadar gaji minimum, peluang pekerjaan, pembinaan hospital, jaringan pengangkutan awam, kemudahan internet, biasiswa pendidikan malah dasar berkaitan rumah mampu milik, lahir daripada perut politik. Setiap dasar tersebut melalui proses perbahasan, kelulusan dan pelaksanaan yang diputuskan oleh pihak yang memegang kuasa pemerintahan. Keadaan ini membuktikan bahawa politik tidak sekadar cerita di Dewan Rakyat akan tetapi menguis-nguis meja makan setiap rumah. Maka, bagaimana lagi kita boleh menafikan kesan politik ke atas kehidupan kita?
Paulo Freire menerusi karya Pedagogi Kaum Tertindas mengingatkan bahawa semakin rendah kesedaran politik rakyat, semakin mudah mereka dimanipulasi oleh mereka yang mahu terus mengekalkan kuasa. Ungkapan ini sarat dengan sebuah amaran. Kekuasaan sentiasa mencari ruang untuk berkembang. Tatkala rakyat kurang memahami hak mereka, kuasa menjadi semakin sukar dipersoalkan. Keputusan-keputusan yang kurang menguntungkan masyarakat lebih mudah diteruskan kerana rakyat kurang menilai dasar kerajaan.
Oleh kerana itu, kesedaran politik sangat mustahak dalam menjadi bangsa bertamadun. Kesedaran tersebut tidak semestinya diterjemahkan melalui keahlian parti politik atau penyertaan aktif dalam kempen. Setidaknya mengambil tahu, membaca, menilai fakta, memahami dasar kerajaan dan menggunakan hak mengundi secara bertanggungjawab kerana setiap undi membawa nilai yang sama di sisi undang-undang. Seorang profesor, petani, nelayan, pekerja kilang, doktor atau pelajar, masing-masing memiliki satu undi. Demokrasi memberikan peluang yang seimbang kepada setiap warganegara untuk mempengaruhi perjalanan negara.
Islam sendiri memberikan perhatian besar terhadap urusan pentadbiran masyarakat. Politik dalam perspektif Islam ialah amanah untuk mengurus kehidupan manusia dengan adil dan bukannya sekadar perebutan jawatan.
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil.” (Surah an-Nisa’: 58)
Ayat ini meletakkan dua prinsip besar dalam pemerintahan iaitu amanah dan keadilan. Kedua-duanya menjadi tunjang kepada politik yang membawa maslahat terhadap masyarakat. Seorang pengundi memikul amanah apabila memilih pemimpin yang akan mentadbir negara. Pilihan tersebut akhirnya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab yang dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak.
Lantaran itu, ambillah tahu tentang politik. Kita tak perlu menjadi ahli parti politik. Cukup sekadar mengikuti perkembangan dasar kerajaan, memahami isu nasional, menilai rekod pemimpin dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi sudah. Sikap inilah yang membentuk masyarakat berilmu serta menjadi benteng kepada penyalahgunaan kuasa.
Politik sememangnya tidak pernah mengabaikan orang berkecuali. Mahu tidak mahu, politik akan terus menentukan arah kehidupan rakyat. Mereka yang memilih untuk memahami politik memiliki ruang lebih besar untuk mempertahankan hak dan bersuara. Namun orang-orang yang terus menjauhkan diri, akan “dimakan” politik dan menerima segala keputusan yang dibuat oleh orang lain. — AlHijrah Online
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.