18 Jun 2026
Berikut adalah kenyataan media PN yang dikeluarkan lewat malam tadi:-
Kenyataan Media
Pengerusi Perikatan Nasional
Bagi tujuan menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan, berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal 8.3 (V), (VI), dan (VII) Perlembagaan Perikatan Nasional, maka dengan ini saya mengumumkan penstrukturan semula pentadbiran Perikatan Nasional, berkuatkuasa serta – merta, seperti berikut:
i) Ketua Pengarah Pilihan Raya, YB Datuk Dr Mohd Radzi bin Md Jidin telah diberhentikan perkhidmatan, dan digantikan dengan YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Noor;
ii) Bendahari, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Noor telah diberhentikan perkhidmatan, dan digantikan dengan Tuan Subramaniam A/L Surunaryan; dan
iii) Timbalan Setiausaha Agung, Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali telah diberhentikan perkhidmatan, bagi memenuhi kehendak Perlembagaan Perikatan Nasional.
Suatu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi Perikatan Nasional.
Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
Pengerusi Perikatan Nasional
Bertarikh: 17 Jun 2026
Baru semalam Bersatu mengadakan mesyuarat dan memutuskan akan kekal dalam PN serta tetap akan menggunakan logo gabungan itu pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, secara tiba-tiba muncul tindakan yang dianggap luar jangka daripada Pengerusi PN.
Yang jelas, pemberhentian serta-merta dilakukan Pengerusi PN terhadap Radzi Jidin dan Azmin Ali memberi petunjuk bahawa Bersatu semakin hampir untuk dikeluarkan daripada PN, seterusnya tidak mungkin dapat langsung menggunakan logo gabungan itu dalam PRN atau PRU selepas ini.
Sebagaimana PAS sudah memutuskan hubungan dengan Bersatu, pemberhentian dua pemimpinnya dalam PN adalah langkah awal ke arah untuk parti itu dikeluarkan daripada PN.
Memecat dan membuat perlantikan baharu ini adalah langkah awal agar PN memperolehi sokongan majoriti yang tidak diragui lagi untuk menyingkirkan Bersatu.
Dalam mesyuarat PN yang disebut oleh Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan diadakan dalam waktu terdekat, maksud untuk memperkukuh PN itu tidak lain ialah dengan cara menyingkirkan Bersatu.
Dalam keadaan Bersatu berbalah dengan PAS, daripada segi politik, adalah normal bahawa PN hanya boleh diperkukuh jika parti itu dikeluarkan sebagai komponennya.
Ternampak takdir Bersatu akan dipecat bukan saja semakin dekat, bahkan seperti tidak mampu ditolak lagi.
Apa Bersatu perlu buat?
Nak ditunggu dipecat dan dihalau daripada PN secara berdepan?
Atau Bersatu keluar lebih dulu meninggalkan PN?
Dalam beberapa tulisan sebelum ini, saya telah memberi pandangan bahawa lebih elok Bersatu pergi saja membawa diri keluar daripada PN sebelum tindakan penyingkiran diambil terhadapnya.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terutama sejak tercetusnya isu tebuk atap di Perlis, memang jelas dapat dilihat bahawa PAS tidak boleh lagi menerima Bersatu sebagai kawan sejati.
Seterusnya dengan PAS mengambil alih jawatan Pengerusi PN, kemudian memutuskan hubungan dengan Bersatu dan terbaru, memecat Radzi Jidin serta Azmin Ali - hakikatnya tiada apa-apa lagi yang boleh dilakukan Bersatu untuk menyelamatkan dirinya.
Maka itu, lebih baik sebenarnya jika Bersatu segera pergi membawa diri tanpa menunggu PN memecatnya dalam mesyuarat rasmi.
Takdir dipecat sudah tak mampu dielak lagi, melainkan jika Bersatu lebih dulu memilih jalan pergi. - ShahbudinHusin 18Jun2026.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.