Seorang pemuda yang sebelum ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh dan membakar kekasihnya yang sedang hamil di sebuah kebun kelapa sawit di Sungai Besar, Sabak Bernam, akhirnya terlepas hukuman tersebut selepas Mahkamah Rayuan menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah selepas membenarkan rayuan dikemukakan oleh Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 23, untuk mengetepikan hukuman mati yang sebelum ini dijatuhkan Mahkamah Tinggi Klang.
Dalam keputusan sebulat suara itu, mahkamah mengambil kira faktor usia tertuduh yang masih muda ketika kejadian berlaku, iaitu 20 tahun, selain wujudnya pilihan hukuman di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
Menurut Azman, mahkamah menggunakan budi bicara yang diperuntukkan di bawah pindaan undang-undang baharu tersebut untuk menggantikan hukuman gantung sampai mati dengan hukuman penjara selama 40 tahun serta 12 sebatan.
Di bawah pindaan undang-undang berkenaan, mahkamah mempunyai kuasa sama ada mengekalkan hukuman mati atau menggantikannya dengan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun. Bagi pesalah lelaki berusia bawah 50 tahun yang tidak dijatuhi hukuman mati, hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali turut boleh dikenakan.
Semasa prosiding rayuan, peguam Muhammad Nor Tamrin yang mewakili tertuduh berhujah bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menjatuhkan hukuman terlalu berat terhadap anak guamnya.
Beliau berkata, Muhammad Fakrul Aiman telah mengaku bersalah sebelum perbicaraan bermula dan ketika kejadian berlaku, tertuduh masih berusia 20 tahun.
Namun begitu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memohon agar hukuman gantung dikekalkan memandangkan jenayah dilakukan disifatkan sebagai sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Sebelum ini, pada Jun 2023, Mahkamah Tinggi Klang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Muhammad Fakrul Aiman selepas dia mengaku bersalah membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara jam 8.30 malam, 22 Mei hingga jam 8 pagi, 23 Mei 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati.
Dalam penghakimannya ketika itu, Hakim Norazlin Othman menyifatkan perbuatan tertuduh sebagai sangat kejam dan dilakukan secara terancang.
Mahkamah turut mengambil kira hasil bedah siasat yang mendapati mangsa yang hamil 18 minggu mengalami kesan bakar hampir di seluruh badan selain luka tikaman dan hirisan di bahagian abdomen serta leher.
Menurut fakta kes, tertuduh didakwa memukul kepala mangsa menggunakan kayu sehingga rebah sebelum mengheret mangsa ke tepi parit dan menikam serta menghiris lehernya menggunakan pisau yang diambil dari kereta.
Pendakwaan sebelum ini turut mengemukakan sebanyak 112 eksibit termasuk imej ultrabunyi kandungan, pisau, kayu serta pakaian mangsa bagi menyokong kes tersebut.
Dalam rayuan mitigasi di Mahkamah Tinggi, pihak pembelaan memaklumkan laporan DNA Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan janin berusia 18 minggu itu bukan milik tertuduh.
Peguam turut mendakwa tertuduh berada dalam tekanan selepas diugut oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya suami kepada sepupu mangsa supaya bertanggungjawab terhadap kandungan tersebut.
Selain itu, mahkamah dimaklumkan bahawa Muhammad Fakrul merupakan seorang penuntut institusi pengajian tinggi yang tidak mempunyai rekod jenayah atau disiplin, malah memperoleh keputusan akademik cemerlang dengan PNGK 3.80 sebelum kejadian berlaku.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.