Ketua baharu SPRM laung amaran, tiada lagi kompromi


 


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abd Halim Aman memberi bayangan pendekatan lebih tegas terhadap rasuah apabila menegaskan suruhanjaya itu tidak akan lagi berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa.

Dalam kenyataan sulungnya selepas memulakan tugas secara rasmi, Abd Halim berkata SPRM di bawah kepimpinan baharu akan bertindak secara lebih tegas, adil dan profesional tanpa mengira kedudukan, pangkat atau pengaruh individu terlibat.

“Rasuah dalam apa juga bentuk adalah sama sekali tidak boleh diterima. Ia merupakan pengkhianatan terbesar terhadap rakyat serta ancaman parah kepada masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM kini menjadi keutamaan utama termasuk memperhebat aspek penguatkuasaan serta meningkatkan ketelusan dalam setiap siasatan.

Menurut beliau, semua siasatan perlu dilaksanakan dengan profesionalisme tertinggi dan berpaksikan prinsip keadilan menyeluruh.

“Pemulihan keyakinan masyarakat ini bukan satu pilihan tetapi merupakan suatu tuntutan yang tidak boleh ditangguhkan,” katanya lagi.

Abd Halim turut menegaskan perlindungan terhadap pemberi maklumat akan diperkukuh selain kerjasama strategik bersama pelbagai pihak akan dipertingkat bagi membudayakan integriti dalam negara.

Bekas hakim berusia 69 tahun itu berkata pengalaman panjangnya dalam institusi kehakiman akan dijadikan asas memperkukuh SPRM sebagai badan penguatkuasa yang bebas dan berwibawa.

“Saya berharap dapat memacu pembentukan SPRM yang lebih tegas, berwibawa serta bebas sepenuhnya supaya suruhanjaya ini dapat bertindak tanpa gentar dan pilih kasih,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menolak rasuah kerana usaha membanteras jenayah itu bukan hanya tanggungjawab SPRM semata-mata.

Abd Halim yang berasal dari Kampung Alai, Melaka merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya sebelum menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Undang-Undang di University of Hull, United Kingdom.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara pada 1982 sebelum memegang pelbagai jawatan dalam institusi kehakiman termasuk majistret, hakim Mahkamah Sesyen, Pesuruhjaya Kehakiman dan Hakim Mahkamah Tinggi.

Sepanjang kariernya, beliau pernah berkhidmat di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Shah Alam sebelum dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ketujuh menggantikan Tan Sri Azam Baki





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.