1MDB: PKORM Bantah Sebarang Usaha Pengampunan Terhadap Jho Low

 


Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM), Mustapa Mansor menggesa Jho Low menghadapi pertuduhan jenayah yang disenaraikan agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM) memandang serius laporan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low didakwa sedang cuba mendapatkan pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Menerusi kenyataan media hari ini, PKORM menegaskan bahawa Jho Low yang masih berstatus Notis Merah dalam senarai Polis Antarabangsa (Interpol) tidak boleh melarikan diri daripada tindakan undang-undang negara.

“Beliau masih menjadi individu yang amat dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia bagi menghadapi pelbagai pertuduhan jenayah berkaitan skandal kewangan antarabangsa.

Foto pelayaran kapal layar bernama Alfa Nero yang dinaiki Najib dan keluarganya bersama Jho Low pada tahun 2009 di perairan selatan Perancis.

“Sehubungan itu, PKORM membantah sebarang tindakan untuk memberikan pengampunan kepada individu yang hidup dalam buangan serta masih gagal memberi kerjasama penuh kepada proses perundangan negara.

“PKORM turut menggesa rakyat Malaysia supaya menyuarakan bantahan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat kerana individu tersebut masih dikehendaki di Malaysia bagi menghadapi pertuduhan yang disenaraikan oleh agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, PKORM berpandangan jalan terbaik ialah Jho Low menyerah diri kepada pihak berkuasa di negara di mana beliau berada ketika ini.

Jho Low kekal menjadi buruan pihak berkuasa termasuk Interpol dalam skandal 1MDB membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Putrajaya pada 26 Disember 2025. Foto Bloomberg

“Kerajaan Malaysia juga disaran meneruskan usaha memohon ekstradisi bagi membawa beliau pulang ke tanah air, sebagaimana tindakan yang telah dikenakan terhadap beberapa proksi beliau sebelum ini.

Terdahulu, menurut laporan media antarabangsa, laman web United States Department of Justice (USDOJ) menyenaraikan satu permohonan atas nama Taek Jho Low yang masih dalam proses bagi kategori “Pengampunan selepas Menjalani Hukuman” yang difailkan tahun ini.

Bagaimanapun, seorang pegawai Rumah Putih dilaporkan berkata bahawa permohonan tersebut tidak berada dalam perhatian pejabat presiden AS itu ketika ini.

“PKORM menegaskan bahawa prinsip keadilan wajib ditegakkan tanpa campur tangan politik atau perlindungan antarabangsa terhadap mana-mana individu yang sedang diburu pihak berkuasa.

“Tiada siapa boleh mengatasi undang-undang. Rakyat Malaysia mahu keadilan ditegakkan sepenuhnya,” tegas kenyataan itu lagi.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.