Sebelum mengakhiri kunjungan singkat ke negeri Johor hari ini, saya telah bersama dengan warga pendidik dan anak-anak Kolej Tingkatan 6 di IPG Kampus Temenggong Ibrahim di mana saya menegaskan bahawa masa depan negara hanya akan melonjak dan menjanjikan harapan yang cerah sekiranya anak-anak mudanya punyai sikap cintakan ilmu, disiplin, dan keteguhan yang tinggi terkait akhlak dan kebijaksanaan.
Cendekiawan besar Islam Ismail al-Faruqi merumuskan bahawa hijrah Nabi Muhammad SAW tidak semata membentuk satu corak masyarakat tetapi melahirkan satu generasi yang unik yakni jilul quraniyul farid, iaitu generasi yang berteraskan iman, nilai dan kecintaan terhadap ilmu. Justeru, usaha kerajaan dalam mengangkat Tingkatan 6 sebagai pra-universiti dan pemerkasaan IPG menuntut kematangan baharu di bidang pendidikan negara. Dalam dunia yang digerakkan teknologi digital, kecerdasan butan dan perubahan yang serba pesat, prasarana semata tidak memadai, malah yang harus kita bangunkan adalah bakat, perisian, akhlak dan nilai kemanusiaan. Lantaran itu, cita-cita sebuah negara yang madani mesti membina ekonomi yang teguh, tetapi mesti diseimbangkan dengan usaha membentuk masyarakat berilmu, bijak dan adil, waima di kota, desa, pedalaman mahupun di estet-estet. Di kesempatan yang sama, saya telah meluluskan RM200,000 bagi keperluan IPG Kampus Temenggong Ibrahim sebagai antara usaha memperkasa bidang pendidikan yang bermutu untuk semua.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.