‘Kerajaan Menunggu’ Dan Lebong Muhyiddin

 

Kenyataan Muhyiddin yang jelas tidak berpijak di bumi nyata menunjukkan Bersatu tidak mempunyai bukti atau pencapaian signifikan dalam meyakinkan rakyat untuk mentadbir Selangor jauh sekali Putrajaya.

PENDAPAT, 27 Apr – Tamat sudah ‘himpunan’ kononnya mahu ‘menangkap’ Azam Baki yang berakhir dengan episod duka dalam segala segi setelah tiada apa hasil diperolehi, jauh sekali mampu ‘mendesak’ Azam meletakkak jawatan sebelum tamat kontraknya 12 Mei depan.

Ibarat jadi ‘pembangkang dalam kerajaan’, niat segelintir peserta melaungkan ‘jatuhkan Anwar Ibrahim’ jelas tidak banyak beza dengan ‘hasrat’ pembangkang sebenar iaitu Perikatan Nasional (PN) tetapi sehingga kini, masih ‘tak cukup jumloh’.

Tak sampai 24 jam himpunan gagal dan koyak itu berakhir dengan drama duka pentaksub bekas pemimpin yang kalah dalam pemilihan partinya sendiri, rupanya ‘cerita’ PN seolah tertumpu kepada ‘angan-angan’ Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) merupakan peluang terbaik untuk PN menawan Selangor dan kembali mentadbir Putrajaya yang jelas sangat tidak berpijak di bumi nyata.

Pengganti Muhyiddin menjadi persoalan penting menentukan masa depan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat terumbang-ambing walaupun nama Ahmad Samsuri antara calon ‘terbaik’ tetapi mempunyai banyak kelemahan tersendiri.

Kenyataan semasa Konvensyen PN Selangor semalam, seolah-olah mengabaikan rekod pentadbiran gabungan itu sendiri, khususnya di negeri-negeri yang pernah atau sedang berada di bawah pengaruh mereka sejak Pilihan Raya Umum ke-14.

Realitinya, prestasi tadbir urus PN di beberapa negeri terus menjadi persoalan tidak kira dari segi kestabilan politik, kecekapan pentadbiran mengurus hasil negeri serta keupayaan menangani isu rakyat seperti bekalan air, capaian internet dan sebagainya.

Takkan Muhyiddin tak sedar, masalah dalaman antara Pas dan Bersatu, perubahan kepimpinan yang menjadi krisis politik di Perlis serta perbezaan pendekatan antara parti komponen seperti Gerakan dan MIPP telah menjejaskan kesinambungan dasar dan polisi pentadbiran serta tawaran yang ingin dikemukakan kepada rakyat.

Samsuri menempelak Muhyiddin bahawa Presiden Bersatu itu pun bukan lagi calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) pada 5 Mac 2026 menyebabkan Muhyiddin pula seakan ‘meroyan’ dalam diam!

Keadaan ini menimbulkan keraguan rakyat terhadap kemampuan PN untuk mengurus negeri yang lebih kompleks seperti Selangor, apatah lagi mentadbir negara secara keseluruhan jika diukur dengan prestasi pentadbiran huru-hara dan bercelaru selama 33 bulan.

Lebih menyedihkan, kegagalan menampilkan pelan yang jelas dan meyakinkan dalam menangani isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pelaburan turut melemahkan keyakinan rakyat.

Retorik politik semata-mata tanpa disokong oleh rekod pencapaian yang kukuh selama Muhyiddin berada di tampuk kuasa dengan cara ‘menebuk atap’, sukar diterima oleh pengundi yang kini lebih matang dan kritis mengemukakan fakta dalam membuat penilaian.

Pemecatan Hamzah oleh Muhyiddin membawa kepada ramai ketua bahagian dan jawatankuasa Bersatu meletak jawatan dan dibubarkan sejak 13 Februari 2026.

Tambahan pula, PN dilihat lebih banyak terperangkap dalam polemik dalaman dan pertikaian kepimpinan berbanding menumpukan usaha kepada penyelesaian masalah rakyat, termasuklah mengambil masa sehingga dua bulan lebih melantik Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN.

Penentangan kem Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Bersatu membawa kepada perpecahan teruk dalam parti itu langsung tidak mampu dijawab dari soal kestabilan parti itu apatah lagi kemampuan Muhyiddin semakin dipersoalkan setelah hanya duduk di bawah ‘kuasa’ Ahmad Samsuri.

Keadaan ini memberi gambaran bahawa gabungan tersebut masih belum bersedia untuk menawarkan alternatif pentadbiran yang stabil dan berkesan termasuk di Selangor apabila nama Azmin Ali kembali diangkat untuk menjadi ‘teraju’ PN di Selangor tetapi Pemuda Pas telah mencalonkan ADUN Paya Jaras, Ab Halim Tamuri setelah Azmin meletak jawatan Januari lalu.

Poster besar ‘Undur Muhyiddin’ disiarkan di akaun Facebook rasmi Bersatu pada 13 Februari 2026 menjadi bahan ketawa netizen berminggu-minggu lamanya.

Justeru, dakwaan bahawa PRU16 adalah peluang terbaik untuk PN kembali berkuasa dilihat lebih bersifat angan-angan politik daripada realiti. Tanpa pembaikan menyeluruh dari segi kepimpinan, dasar dan prestasi, sukar untuk meyakinkan rakyat bahawa PN mampu membawa perubahan yang lebih baik kepada negara.

Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang jelas lebih berkesan dan ke hadapan dari segi dasar dan polisi seperti Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta berupaya menangani krisis tenaga global, sukar ditandingi mana-mana pemimpin PN seperti Muhyiddin sendiri.

Dilihat gagal masa mentadbir, Muhyiddin turut berdepan kes mahkamah membabitkan dirinya dan keadaan itu terus menjadi liabiliti Bersatu belum lagi dikira menantunya masih belum pulang daripada menjadi ‘pelarian’ di Asia Barat.

Pentadbiran Muhyiddin semasa menjadi perdana menteri terus menjadi kebimbangan majoriti rakyat apatah lagi meletakkan Azmin sebagai ‘teraju utama’ kononnya mahu merampas Selangor pada PRU16.

Jadi, ‘tang mana Muhyiddin cuba nak lebong rakyat lagi’?




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.