BUDI95: Tiada Sekatan Buat Rakyat Beli Petrol Subsidi Selagi Ikut Undang-Undang – JPN

 


Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelskan berhubung isu salah faham mengaitkan penggunaan kad pengenalan dalam kalangan ahli keluarga menggunakan inisiatif BUDI95, yang turut dikira satu kesalahan.

KUALA LUMPUR, 6 Apr – Tiada sekatan untuk rakyat menggunakan kad pengenalan bagi memanfaatkan subsidi di bawah inisiatif BUDI95, selagi ia dibuat mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Demikian penjelasan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) susulan kecoh di media sosial, berhubung salah faham mengaitkan penggunaan kad pengenalan dalam kalangan ahli keluarga menggunakan inisiatif BUDI95, yang turut dikira satu kesalahan.

Memperbetulkan kenyataan asal dikeluarkan Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias pada Sabtu berhubung penyalahgunaan kad pengenalan, JPN berkata, ia berkait siasatan terhadap penyalahgunaan empat MyKad oleh individu selain pemiliknya.

BUDI95 untuk pembelian petrol bersubsidi masih boleh dinikmati rakyat Malaysia asalkan mengikut undang-undang sedia ada.

Katanya, tindakan diambil selaras dengan bidang kuasa JPN dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan dokumen pengenalan diri.

“Dalam konteks kes yang dilaporkan, siasatan tertumpu kepada dakwaan penyalahgunaan empat keping MyKad oleh seorang individu di Kelantan.

“Kenyataan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara bukan bertujuan menyekat mana-mana pihak daripada menikmati subsidi yang disediakan kerajaan.

Penduduk Hong Kong kini muncul mangsa kenaikan harga petrol tertinggi di dunia iaitu lebih RM62 segelen atau RM16.40 seliter.

“JPN juga akan terus komited memastikan MyKad yang dikeluarkan berfungsi dengan baik sebagai instrumen pengenalan diri yang sah dan diyakini, termasuk dalam menyokong pelaksanaan inisiatif kerajaan seperti BUDI95,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, JPN menggesa semua pihak merujuk kepada sumber rasmi dan memahami konteks sebenar sesuatu isu sebelum membuat sebarang tafsiran.

Ia juga bagi memastikan perbincangan awam dapat berlangsung secara lebih berhemah dan berfakta.

Menyentuh isu penyalahgunaan kad pengenalan termasuk dalam pelaksanaan BUDI95, jelas JPN penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi yang berkenaan.

Pada masa sama, JPN kekal komited dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan sistem pendaftaran negara terus terpelihara serta diyakini oleh rakyat.

“Orang ramai turut diseru agar menggunakan MyKad masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain bagi sebarang urusan, termasuk berkaitan pembelian bahan api bersubsidi bagi mengelakkan implikasi undang-undang serta risiko penyalahgunaan identiti, ” katanya.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.