Afiq Nordin
Buat saudara Rayer, saya membaca kenyataan media kamu berhubung insiden yang melibatkan sebuah kereta Jaguar di Bukit Mertajam.
.
Terus terang saya katakan, kenyataan kamu itu menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Pertama sekali, apa sebenarnya yang kamu cuba maksudkan dengan perkataan “luxury” sedan itu?
Adakah perkataan “luxury” itu sengaja digunakan untuk mencipta persepsi tertentu di mata orang ramai?
Untuk makluman kamu, merujuk hantaran saudara Khairul Azri, kereta yang digunakan ialah Jaguar XJL model sekitar tahun 2010 hingga 2013.
Dalam pasaran kereta terpakai hari ini, kereta tersebut boleh dibeli sekitar RM50,000 sahaja di platform jualan kereta terpakai seperti Mudah.
Dengan gaji seorang Ahli Parlimen, tiga bulan pun sudah cukup untuk membeli kereta itu secara tunai.
Jadi apa sebenarnya yang “luxury” sangat sampai perlu ditekankan dalam kenyataan media kamu?
Atau perkataan itu sekadar digunakan untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar?
Persoalannya, adakah kereta tersebut lebih “luxury” daripada nyawa seseorang sehingga kamu langsung tidak menyentuh perkara itu?
Sebelum pergi lebih jauh, biar saya jelaskan satu perkara supaya kamu tidak memutar fakta.
Saya sendiri tidak bersetuju dengan banyak perkara yang diucapkan oleh Zamri Vinoth, khususnya penggunaan beberapa perkataan yang bagi saya agak kasar dan keterlaluan. Saya juga pernah menegur perkara tersebut kepadanya.
Namun itu tidak bermakna saya menyokong atau bersama kamu.
Hakikatnya dalam banyak keadaan, kenyataan kamu bagi saya lebih sarat dengan retorik politik dan meniup sentimen sehingga merumitkan keadaan.
Sebab itu isu ini perlu dilihat berdasarkan fakta, bukan persepsi yang dibina melalui kenyataan politik.
Menurut laporan polis, ketika Zamri hendak keluar dari kediamannya di Aston Acacia, sebuah motosikal telah menghalang laluan sebelum beberapa individu lain datang mengepung keretanya.
Kereta tersebut kemudian diserang menggunakan kayu dan batu. Zamri menyatakan dia memecut untuk melepaskan diri sehingga terlanggar dua individu serta sebuah motosikal yang menghalang laluan. Batu juga dicampakkan sehingga memecahkan cermin kereta.
Laporan itu turut menyebut individu terbabit merakam video sambil mengatakan dalam bahasa Tamil bahawa mereka telah mengepung Zamri, dan Zamri juga mendakwa mendengar nama kamu disebut ketika kejadian berlaku.
Kawasan tersebut juga mempunyai CCTV selain rakaman video daripada mereka yang terlibat.
Persoalannya sekarang, mengapa kamu mengabaikan keseluruhan konteks kejadian ini dan hanya menumpukan kepada satu bahagian video iaitu saat penunggang motosikal terjatuh?
Walhal mereka sendiri yang mengambil risiko dengan mengepung kereta tersebut.
Sebagai seorang peguam, kamu tentu tahu bahawa undang-undang mengiktiraf konsep self-defence, iaitu hak seseorang mempertahankan diri apabila berhadapan ancaman keselamatan.
Apabila seseorang dikepung dan diserang, adakah kamu menjangkakan orang itu akan duduk diam menunggu dipukul?
Atau kamu sengaja memilih bahagian tertentu untuk membentuk persepsi yang memihak kepada naratif kamu?
Apabila kamu bertanya sama ada Zamri Vinoth berada “above the law”, satu soalan lain juga wajar ditanya.
Adakah kamu benar-benar bercakap atas dasar keadilan dan undang-undang, atau sedang membina naratif politik dengan memilih sebahagian daripada kejadian tersebut?
Seorang pemimpin sepatutnya menenangkan keadaan dan mencari kebenaran, bukannya meniup persepsi yang mengeruhkan keadaan.
Jangan cuba memintal semula tali yang kamu sendiri sudah simpulkan sejak dari awal.
Naratif itu bermula daripada kenyataan dan tindakan kamu sendiri. Jangan berpura-pura seolah-olah kamu tidak tahu bagaimana semuanya bermula.
Orang ramai tidak bodoh seperti yang kamu sangkakan. Mereka melihat dan memahami apa yang sebenarnya berlaku.
Perkara yang penting bukan persepsi politik, tetapi kebenaran dan keadilan berdasarkan fakta sebenar.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.