Minggu lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwanya menyalahgunakan agensi serta dana kerajaan bagi tujuan kempen politik di Padang Serai dan Kulim.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, amalan menggunakan jentera kerajaan untuk kepentingan peribadi dan politik adalah tidak wajar serta bercanggah dengan prinsip berpolitik secara matang. Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya (PN) dan PAS Pusat juga mendakwa Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri kerap turun ke Kulim kebelakangan ini sehingga kawasan itu digelar orang ramai sebagai Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kulim. Menjawab tuduhan berkenaan, Saifuddin yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Negeri Kedah meminta semua pihak tidak bersangka buruk, apatah lagi dalam Ramadan yang sepatutnya dimanfaatkan untuk memperbanyakkan amal ibadat. "Oh biaq pi lah Sanusi. Bulan puasa ini kita buat amal ibadat dengan lebih banyak, tak usah banyak-banyak bersangka buruk dengan saya. Lagipun dia Menteri Besar yang hebat memimpin Kedah. "Kalau nak terkesan dengan saya bawa program tukar al-Quran ini, tak ada apa-apa," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Sambutan Nuzul al-Quran 1447H Peringkat Kedah di Kampung Guar Lobak, Padang Serai, malam tadi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.