
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Batalion Kedua Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim pada 7 Mac 2026. Foto PMO
KULIM, 7 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat bahawa pengaruh dan konspirasi asing berpotensi menjejaskan kestabilan negara sekiranya tidak ditangani dengan tegas.
Ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Bersama Badan Beruniform di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, Perdana Menteri menegaskan, semua pihak perlu berwaspada dan tidak terjebak menjadi alat terhadap mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan tertentu sehingga boleh menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.

Menurutnya, walaupun terdapat perbezaan pandangan politik, kepentingan negara harus sentiasa menjadi keutamaan.
“Kita boleh berbeza pendapat, tetapi negara ini negara kita. Kita mesti selamatkan daripada pengaruh, muslihat dan konspirasi asing,” katanya.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Seri Norizan Khazali.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengingatkan bahawa pengaruh tersebut sering melibatkan pihak yang mempunyai dana besar dan mampu mempengaruhi pelbagai pihak termasuk melalui media antarabangsa dan media sosial.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan terus bertindak tegas bagi memastikan negara tidak terdedah kepada sebarang bentuk campur tangan yang boleh menggugat kestabilan dan kepentingan nasional.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PGA yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara terus terpelihara.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.