Seorang pengurus mayat terpaksa membawa keranda mengandungi jasad ke sebuah stesen minyak sebagai bukti bahawa pembelian diesel dilakukan untuk tujuan pembakaran bukan mahu menyorok bahan api.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di wilayah Chonburi, Thailand selepas stesen berkenaan enggan menjual minyak termasuk diesel di dalam bekas sebagai sebahagian daripada langkah anti-sorok.
Pengurus mayat dikenali sebagai Preecha itu memaklumkan bahawa beliau sebelum ini membawa sebuah bekas 18 liter ke sebuah stesen di Lebuhraya 344, perbandaran Ban Bueng untuk membeli diesel.
Namun kakitangan di stesen minyak itu memberitahu bahawa mereka tidak dapat menjual bahan api dalam bekas pada waktu itu kerana terdapat sekatan untuk menghalang aktiviti menyorok bekalan.
Preecha tetap dihalang walaupun sudah menjelaskan bahawa diesel itu diperlukan untuk pembakaran mayat membabitkan keluarga berpendapatan rendah yang bergantung kepada sumbangan untuk menampung kos bahan api.
Pengurus mayat itu tidak mengalah sebaliknya kembali ke stesen sama keesokkan harinya dengan membawa keranda mengandungi mayat serta bekas bahan api sebagai bukti beliau tidak berniat menyorok diesel.
Keranda itu turut dibuka untuk ditunjukkan kepada kakitangan stesen yang kemudian memaklumkannya kepada pengurus lalu memberikan persetujuan untuk mengisi bekas bahan apinya dengan minyak diesel.
Difahamkan, Preecha bekerja sebagai pengurus mayat sejak 2005 dan membeli diesel dalam bekas dari stesen sama secara berkala selepas kuil beralih menggunakan diesel daripada tungku kayu.
Sehubungan dengan itu, Preecha menggesa pengendali stesen minyak untuk mempertimbangkan pengecualian terutamanya bagi kuil yang memerlukan bahan api untuk pembakaran mayat, serta buat petani bagi mengendalikan mesin ketika musim tuaian.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.