UMNO MESTI PANGGIL MESYUARAT MT TERGEMPAR PUTUS KETETAPAN KELUAR KERAJAAN
23 December 2025
Gelombang mahukan UMNO keluar kerajaan kini sudah menggelembung ke seluruh penjuru alam.
Di mana-mana ramai yang bersetuju dengan tindakan itu susulan sikap biadap dan kurang ajar seorang pemimpin DAP kepada UMNO susulan keputusan mahkamah semalam berkaitan titah adendum.
Langkah keluar meninggalkan kerajaan dan segera memisahkan diri daripada DAP adalah satu-satunya langkah wajar untuk memberi pengajaran kepada parti tersebut.
Bukan saja orang UMNO, malah orang Melayu biasa dan kebanyakan juga dilihat bersetuju dengan langkah meninggalkan kerajaan itu.
Sepertinya sekarang ini bukan saja orang UMNO yang terasa disakiti kerana dihina oleh sikap biadap dan kurang ajar seorang pemimpin DAP terhadap Najib Razak, malah perasaan yang sama telah merebak ke jiwa orang-orang Melayu.
Bagi sebahagian besar orang Melayu, jasa dan sumbangan Najib begitu besar kepada kehidupan mereka.
Bantuan tunai STR, Sara dan segala macam bantuan lainnya, ia masih diingati sebagai idea daripada BR1M Najib yang terus dikekalkan oleh beberapa kerajaan sehinggalah sekarang.
Dalam erti kata lain, orang Melayu sekarang ini mula simpati kepada UMNO disebabkan perlakuan pemimpin DAP kepada Najib itu.
Maka itu, UMNO tidak boleh memandang ringan sentimen yang wujud dan makin berkembang sekarang ini.
Ini adalah sentimen yang boleh membawa kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
Oleh sebab sudah ramai pemimpin UMNO telah mengeluarkan kenyataan memperlihatkan kecenderungan ingin keluar kerajaan, berpatah balik atau melakukan U-Turn bukan lagi suatu pilihan.
Jika itu yang dilakukan, orang Melayu akan hilang kepercayaan dan tidak lagi respek kepada UMNO.
Yang dinanti sekarang ini hanya satu – bila UMNO mahu keluar kerajaan?
Kata-kara berapi, desakan, ugutan dan seumpamanya hanya dinanti bila mahu dilaksanakan.
Untuk itu, UMNO kini wajar memanggil mesyuarat MT khas dan tergempar dengan kadar segera.
Mesyuarat itu bukan untuk membincangkan keputusan mahkamah semalam, bukan juga untuk membincangkan apa jadi kepada Najib selepas ini, tetapi untuk mendapatkan persetujuan untuk segera meninggalkan kerajaan.
Tentang keputusan mahkamah semalam, serahkan kepada peguam Najib untuk mengemukakan rayuan di peringkat mahkamah yang seterusnya.
Keluar kerajaan dan tidak lagi berkawan dengan DAP adalah satu-satunya pilihan untuk UMNO kembali mendapat kepercayaan dan keyakinan daripada orang-orang Melayu.
UMNO selama ini bukan saja sudah bertolak ansur dalam banyak perkara, malah sanggup memberi laluan agar DAP dapat beroleh kuasa, tetapi jika hinaan dan kejian sebagai balasannya, ia sama sekali tidak boleh diterima.
Kali ini UMNO jangan sekali-kali berpatah balik lagi, kecualilah jika parti itu mahu terus dihina dan sengaja ingin ditolak mutlak pada PRU seterusnya. – ShahbudinHusin 23Disember2025.
https://shahbudindotcom.net/2025/12/umno-mesti-panggil-mesyuarat-mt-tergempar-putus-keluar-kerajaan/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.