
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata Presiden Upko Ewon Benedick terus mengulang-ulang isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah untuk menonjolkan dirinya sebagai seorang wira. Foto Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU, 16 Nov – Tindakan Presiden Upko Ewon Benedick bukanlah seorang wira sebaliknya ‘hanya bermain wayang’ apabila meletak jawatan menteri persekutuan kononnya bagi membantah isu berkait tuntutan 40 peratus hasil Sabah, bidas Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook.
Loke berkata Kerajaan Persekutuan sudah pun memulakan kerja berhubung isu itu dan malah menetapkan mesyuarat khas Jemaah Menteri pada 11 November bagi membincangkannya.
Pada mesyuarat itu, Jemaah Menteri bersetuju untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak Sabah terhadap 40 peratus hasil yang diperoleh daripada negeri itu.

“Ewon asyik mengulangi isu ini, cuba menggambarkan dirinya sebagai wira. Tetapi hakikatnya, beliau tidak hadir pada mesyuarat khas itu.
“Beliau hantar surat peletakan jawatan pada 10 November, tetapi ia hanya berkuat kuasa selepas Disember. Beliau kini bercuti. Secara teknikalnya, beliau masih anggota Jemaah dan beliau tahu mesyuarat itu berlangsung,” kata Loke dalam satu kenyataan.
Katanya, sekiranya Ewon berpendapat keputusan itu salah beliau patut perjuangkannya dalam Jemaah Menteri bukannya meletak jawatan.

“Cabar peguam negara, cabar perdana menteri, kemudian barulah letak jawatan. Ketika itu saya akan kata anda wira. Tetapi buat masa ini, anda hanya bermain wayang,” katanya.
Loke menegaskan bahawa rayuan Putrajaya dalam kes mahkamah berhubung 40 peratus hasil Sabah hanyalah berkaitan isu teknikal, bukan merit tuntutan itu.
“Jika kerajaan tidak merayu, ia akan kelihatan seolah-olah kita menyalahgunakan kuasa. Ini isu perundangan yang perlu diperjelaskan,” katanya sambil menegaskan Putrajaya mengiktiraf hak Sabah terhadap 40 peratus hasil yang dikutip dari negeri itu.

Beliau turut menggesa pengundi supaya tidak terpengaruh dengan politik konfrontasi menjelang PRU Sabah pada 29 November ini, sambil berkata pembangunan wilayah itu memerlukan kerjasama erat antara kerajaan Sabah dan persekutuan.
“Jika kerajaan negeri yang menentang kerajaan persekutuan sepenuhnya berkuasa, lima tahun akan datang akan dipenuhi politiking, pertengkaran dan suara lantang penuh emosi.
“Itu tidak akan menyelesaikan masalah jangka panjang Sabah,” katanya.

Loke, yang juga menteri pengangkutan, berkata kerajaan perpaduan tidak pernah melihat Sabah sebagai seteru. “Jika Sabah maju, Malaysia juga maju,” katanya.
“Perlu ada keseimbangan. Kehadiran wakil rakyat Pakatan Harapan di Sabah akan membantu mewujudkan situasi menang-menang, sokongan persekutuan yang kuat dan kerajaan negeri yang stabil,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.