
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menewaskan pasangan tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada aksi separuh akhir yang sengit di Shenzhen Arena pada 20 September 2025. Foto BAM
SHENZEN, 20 Sep – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan prestasi cemerlang apabila menempah slot ke final Masters China 2025 selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada aksi separuh akhir yang sengit di Shenzhen Arena, sebentar tadi.
Turun menentang beregu nombor satu dunia itu, Tang Jie-Ee Wei yang masih segar dengan kejayaan muncul juara dunia tidak menunjukkan sebarang tanda gentar apabila memberi saingan hebat sepanjang perlawanan.
Meskipun tewas tipis 22-24 kepada beregu ranking nombor satu dunia di set pertama, pasangan negara kekal fokus untuk terus bangkit.

Set kedua menyaksikan mereka mengatur semula rentak permainan dengan lebih tersusun, selain memanfaatkan kelemahan pihak lawan sebelum meraih kemenangan 21-19 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Berbekalkan keyakinan dan semangat juang tinggi, gandingan negara tampil lebih agresif dan kemas di set penentuan.
Mereka berjaya mendominasi permainan, seterusnya menjarakkan kutipan mata apabila mendahului 11-7, 19-15 sebelum mengesahkan kemenangan 21-17 dalam aksi satu jam 20 minit.
Kejayaan itu sekali gus menghalang pasangan China itu melakar kemenangan kelima berturut-turut, selain menyaksikan Tang Jie-Ee Wei menambah catatan kemenangan kepada tiga daripada sembilan pertemuan keseluruhan menentang Feng-Huang.
Kali terakhir mereka menewaskan pasangan pilihan tuan rumah itu ialah dalam saingan peringkat kumpulan D Sukan Olimpik Paris 2024.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.