Kes Pesawat TUDM: PM Anwar Simpati, Arah Siasatan Menyeluruh

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan simpati terhadap juruterbang dan pembantu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan dan meminta siasatan menyeluruh dijalankan. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan simpati terhadap juruterbang dan pembantu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam insiden di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) di Pahang, malam tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian menerusi hantaran di platform X sebentar tadi.

“Saya mendoakan agar kedua-dua anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan,” katanya.

Hantaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di X menggesa agar siasatan menyeluruh dijalankan bagi mencari punca kemalangan.

Pada masa sama, Anwar mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan segera bagi mengenal pasti punca kejadian selain memastikan langkah keselamatan sewajarnya diambil bagi mengelakkan insiden berulang.

Terdahulu pesawat pejuang berkenaan mengalami kemalangan di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini menyebabkan dua anggotanya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, malam tadi.

Mereka dibawa dengan Ambulans Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAA untuk menerima rawatan lanjut.

Dua anggota TUDM dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan bagi menerima rawatan susulan kemalangan pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik TUDM pada 21 Ogos 2025.

Beberapa anggota tentera turut berada hospital memantau keadaan semasa dan siasatan lanjut sedang dijalankan di tapak kemalangan pagi tadi.





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.