PM Anwar Bertemu Pemimpin Myanmar Bincang Usaha Bantuan Pasca Gempa Bumi

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu pemimpin Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing (tengah) yang turut dihadiri Thaksin Shinawatra di Bangkok, Thailand pada 17 April 2025.

BANGKOK, 17 Apr – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing di sini bagi membincangkan usaha untuk memulihkan negara itu susulan bencana gempa bumi pada 28 Mac lepas pada Khamis.

Anwar yang kini berada di sini dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Thailand berkata, beliau dan Min Aung Hlaing berbincang mengenai keperluan kemanusiaan rakyat Myanmar.

“Petang tadi, saya telah bertemu dengan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar.

Kenderaan membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sebuah hotel di Bangkok bagi mengadakan perbincangan dengan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing berkenaan bantuan pasca gempa bumi di Myanmar. Foto The Reporter

“Dalam pertemuan lebih satu jam ini, kami berbincang secara terbuka dan konstruktif dengan tumpuan kepada keperluan mendesak untuk menyegerakan bantuan kemanusiaan, termasuk penempatan segera sebuah hospital medan.

“Kami turut menyentuh kepentingan mengembalikan Myanmar kepada keadaan sediakala demi kestabilan dan keselamatan rakyatnya,” katanya dalam hantaran di Facebook malam ini.

Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra turut menghadiri pertemuan itu yang berlangsung lebih sejam dan bermula pada jam 3.30 petang.

Anwar turut menyambut baik langkah-langkah awal untuk meredakan ketegangan termasuk pembebasan 4,800 tahanan pada Rabu malam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani buku lawatan sebelum mengadakan mesyuarat dua hala bersama Paetongtarn Shinawatra sempena lawatan kerja di Rumah Kerajaan Thailand di Bangkok pada 17 April 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Tindakan sebegini memberi isyarat yang cukup bermakna. Kita mesti terus menggalakkan semua pihak untuk berunding secara serius demi kestabilan Myanmar dan kesejahteraan rakyatnya,” kata beliau.

Perdana Menteri juga berkata, beliau akan bertemu dengan wakil-wakil Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar pagi esok.

Dilaporkan bahawa ketua kerajaan tentera Myanmar memberikan pengampunan kepada hampir 4,900 banduan sempena sambutan Tahun Baharu tradisional negara itu, lapor media kerajaan pada Khamis.

Sebuah badan pemerhati bebas menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 22 daripada mereka yang dibebaskan adalah tahanan politik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan Paetongtarn Shinawatra sebelum mengadakan mesyuarat dua hala bersama sempena lawatan kerja rasmi di Rumah Kerajaan Thailand di Bangkok pada 17 April 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Untuk rekod, Pasukan Khas Bantuan dan Menyelamat Bencana Malaysia (SMART) berlepas ke Nay Pi Taw, pada 30 Mac lepas dua hari selepas gempa bumi dahsyat berukuran 7.7 skala Richter melanda Myanmar.

Pasukan itu menjalankan misi bantuan kemanusiaan dan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.