Tak sangka lagu Siti Nurhaliza dipilih sebagai lagu kegemaran Raja Charles III

 



Siapa sangka lagu Anta Permana nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dipilih untuk dimasukkan dalam senarai ‘playlist’ lagu peribadi Raja Britain, Raja Charles III.

Lagu tersebut menjadi sebahagian daripada program The King’s Music Room di Apple Music yang menghimpunkan karya daripada negara-negara Komanwel sebagai simbol meraikan kepelbagaian muzik seluruh dunia.

Penghormatan besar ini sekali gus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dan mengangkat keunikan muzik Nusantara.


Lebih membanggakan, Siti Nurhaliza, 46, tersenarai bersama bintang-bintang ternama seperti Beyonce, Bob Marley, Kylie Minogue dan Grace Jonas.


Anta Permana merupakan lagu ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini yang diluncurkan pada tahun 2018.

Senarai lagu yang dipilih menggambarkan selera muzik baginda yang luas, merangkumi pelbagai era dan genre seperti Afrobeats, reggae serta pop kontemporari.

“Sepanjang hidup, muzik memberi makna besar buat saya.


“Itu semua bukan sekadar hiburan, tetapi mampu mengembalikan kenangan, memberi ketenangan dan menyatukan kita dalam kegembiraan,” titah Raja Charles dalam siaran khas itu.


Rakaman The King’s Music Room berlangsung di Istana Buckingham dan memaparkan perjalanan muzik yang membentuk pengalaman serta memori peribadi baginda.

Penghormatan tersebut jelas membanggakan peminat muzik tanah air yang tidak menyangka lagu Melayu turut mendapat tempat dalam seleksi peribadi Raja Britain.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.