
Faizul sifatkan tersebut juga menggambarkan pemikiran yang sempit dan tidak matang dalam konteks politik lantas memberi persepsi negatif terhadap pembangkang sendiri yang tidak bertanggungjawab, cuai serta merendahkan martabat institusi pembuat undang-undang.
PENDAPAT, 5 Mar – Tindakan 57 ahli parlimen pembangkang yang sengaja tidak mengundi dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 menunjukkan mereka tidak memahami prinsip asas demokrasi berparlimen.
Kesal dengan tindakan tidak matang itu, saya menyarankan mereka agar kembali ke ‘sekolah politik’ dengan memahami kepentingan melaksanakan reformasi dalam sistem parlimen di negara ini.
Pembangkang harus faham sistem demokrasi berparlimen mengharuskan setiap wakil rakyat untuk bertanggungjawab terhadap kepentingan rakyat yang diwakili, termasuk dalam membuat keputusan penting melalui proses pengundian bagi manfaat pegawai-pegawai serta kakitangan parlimen sendiri.

Sekiranya pengabaian berlaku seperti tidak mengundi, mereka bukan sahaja mengabaikan tanggungjawab mereka, tetapi juga menunjukkan kedangkalan mereka membantu Parlimen berfungsi sebagai sebuah institusi yang benar-benar bebas dan berdaulat.
Tindakan tersebut juga menggambarkan pemikiran yang sempit dan tidak matang dalam konteks politik lantas memberi persepsi negatif terhadap pembangkang sendiri yang tidak bertanggungjawab, cuai serta merendahkan martabat institusi pembuat undang-undang.
Ahli parlimen seharusnya menggunakan platform yang ada untuk membuka perbincangan positif, mengkritik dengan fakta dan hujah serta menyokong rang undang-undang secara rasional, bukan hanya menjadi ‘pasu bunga’ kerana kepentingan politik sempit tak berkesudahan.

Menghindari daripada pengundian mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab dan menangguhkan proses demokrasi yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat.
Namun alhamdulillah, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025, dengan sokongan 148 Ahli Parlimen selepas undian belah bahagi dilakukan biarpun 57 wakil rakyat memilih untuk tidak mengundi, dan 17 tidak hadir.
RUU yang melibatkan pindaan kepada Perkara 56, Perkara 57 dan Perkara 65 Perlembagaan Persekutuan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi laluan kepada kerajaan membentang RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 untuk bacaan kali kedua pada Selasa.

Dengan mengambil pendekatan ini, pembangkang seolah-olah merendahkan nilai-nilai demokrasi itu sendiri dan meletakkan kepentingan peribadi di atas kepentingan rakyat.
Sedarlah bahawa kerajaan Madani benar-benar mahu memulihkan institusi parlimen dengan pelbagai penambah baikan yang akhirnya menjadikannya lebih berwibawa di mata rakyat walau pembangkang tidak menyokong apa sahaja kebaikan yang dibawa.
– Faizul Abdul Ghani merupakan pemerhati politik semasa
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.