Penjawat Awam Pulau Pinang Dapat ‘Duit Raya’ Minimum RM1,000

 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pembayaran BKK dianggarkan membabitkan implikasi kewangan RM7.81 juta itu akan disalurkan kepada 7,066 penerima bermula 19 Mac ini.

GEORGE TOWN, 5 Mar – Kerajaan Pulau Pinang bersetuju meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada anggota perkhidmatan awam negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

BKK berjumlah RM300 juga bakal diterima penyelia, guru dan kakitangan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), sekolah rendah agama rakyat (SRAR), sekolah menengah agama rakyat (SMAR), sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), tahfiz, pondok, tadika Islam (TADIS) dan sekolah persendirian Cina di negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pembayaran BKK dianggarkan membabitkan implikasi kewangan RM7.81 juta itu akan disalurkan kepada 7,066 penerima bermula 19 Mac ini.

“Pemberian BKK itu tanda penghargaan kerajaan negeri kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri atas sumbangan dan komitmen tidak berbelah bahagi mereka.

“Ini termasuk dalam merealisasikan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, pembayaran BKK itu akan dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri tertakluk kepada kemampuan kewangan masing-masing.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.