Seorang penulis Pas mengakui kerajaan Madani terutamanya Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengemudi ekonomi negara dengan lebih baik.
Dikenali sebagai Dr Tanaka Mustafa, beliau turut memuji perkongsian strategik antara Malaysia dan peneraju cip AI global, ARM Holdings Plc (ARM).
“Apa yang PMX dan team Rafizi buat adalah untuk mengemudi ekonomi negara dengan lebih baik – mengikut cara yang mereka anggap lebih baik, lebih canggih dan lebih berdaya saing.
“Mereka pun tidak gila untuk menjerumuskan negara kita kepada keruntuhan ekonomi, sebab mereka pun bukan nak memerintah satu penggal sahaja,” katanya dalam tulisan terbaharu hari ini.
Beberapa artikel sebelumnya juga telah memuji dan menyokong sebahagian cara PMX mengemudi negara dan ekonomi serta menyifatkan perancangan-perancangan Rafizi yang semakin bagus.
“Melobi ARM untuk masuk melabur dalam negara kita adalah salah satu benda yang bukan politician level kampung boleh fikir.
“Malahan PMX pun tak akan fikir sampai ke situ. Datuk Seri Rafizi jenis kepala otak engineer, dan mungkin termotivasi pula dengan minat dan impian beliau juga.
“Minat dia ini kita boleh tengok pada penganjuran program realiti “Innovathon”, yang beliau sendiri jadi juri.
“Jadi, tak hairan dia sedang plan untuk projek mega berkaitan teknologi AI dengan permulaan libatkan ARM – yang rasanya dia akan follow sampai berjaya,” jelasnya.
Untuk rekod, peluncuran kerjasama strategik dalam industri semikonduktor antara Kerajaan Malaysia dengan ARM Holdings Plc (ARM) telah dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 5 Mac lalu.
Rafizi menegaskan kerjasama dengan syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK) itu perlu berfokus kepada pemindahan ekosistem semikonduktor negara ini dari OSAT ke IP, membangunkan teknologi asli, dan membolehkan Malaysia meneroka bidang kecerdasan buatan (AI), robotik, kenderaan autonomi, serta internet kebendaan (IoT).
Mengulas lanjut, Tanaka menyifatkan perancangan jangka panjang itu sebenarnya seolah-olah untuk membangkitkan Malaysia menjadi kuasa besar teknologi AI kelak.
“Negara-negara rantau Asia Tenggara ni belum jelas lagi halatuju AI, sekadar nak jadi pengguna tu memang dah berlambak.
“Hala tuju ekonomi kita pun kelak akan berorientasikan AI dan pengeluaran cip.
“Bahkan mungkin dengan penemuan bahan mentah REE dalam negara kita sendiri, kita boleh cipta teknologi cip buatan kita sendiri menggunakan bahan REE sendiri, seterusnya digunakan dalam pembangunan teknologi AI kita sendiri.
“Besar cita-cita, tetapi penuh dengan onak duri isu beras tempatan, santan mahal, dan sebagainya,” akui Tanaka lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.