Mesyuarat MT UMNO semalam membuat keputusan menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman berkuatkuasa serta-merta.
Penarikan balik penggantungan keahlian selama enam tahun itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat MT UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid Hamidi.
“Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara melepas dan menarik semula penggantungan keahlian Tajuddin berkuat kuasa serta merta selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan UMNO,” demikian menurut kenyataan Setiausaha Agung parti itu, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Tajuddin digantung keahlian pada September 2022 iaitu sebelum berlangsungnya PRU15 selepas beliau secara terbuka mengkritik kepimpinan Zahid Hamidi.
Sesungguhnya dengan penarikan balik penggantungan Tajuddin ini ia adalah langkah yang baik bagi masa depan UMNO.
Ia menunjukkan UMNO dibawah kepimpinan Zahid Hamidi tidak selamanya bersikap keras dan berdendam terhadap mereka yang mengkritiknya.
Apa yang diharapkan selepas penggantungan Tajuddin ini ditarik balik, beberapa pemimpin UMNO lain yang digantung sebelum ini juga diambil tindakan yang mereka.
Cukuplah menggantung keahlian beberapa pemimpin terbabit dan oleh kerana PRU16 hanya kira-kira tiga tahun saja lagi daripada sekarang, tempoh berbaki ini mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengukuhkan lagi parti.
Selain mereka yang digantung harus dilepaskan, pemimpin yang dipecat pula sebaiknya dipelawa dengan tangan terbuka untuk kembali semula menyertai UMNO.
Inilah masanya untuk Zahid Hamidi menjadikan UMNO kembali bulat dan bersatu padu, sesuai dengan hasrat dan iltizamnya untuk mengimpikan BN sebagai parti dominan selepas PRU16 akan datang.
UMNO tidak mungkin mampu dominan atau memenangi lebih banyak kerusi jika ia terus berpecah dan mereka yang digantung atau dipecat tidak dibawa kembali memperkukuhkan parti.
Jadikan bidalan – carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga dan biduk lalu kiambang bertaut – sebagai kata-kata azimat untuk memperkukuhkan kembali UMNO.
Untuk UMNO menjadi dominan sebagaimana yang dicita-citakan oleh Zahid Hamidi, PRU16 adalah masa paling terbaik untuk berbuat demikian.
Ia bukan saja kerana UMNO nampaknya sudah kembali berada di hati rakyat dengan kemenangan cemerlang di PRK Nenggiri dan Mahkota, tetapi juga disebabkan PKR dan PH sedang berada cerunan yang makin menurun ketika ini.
Dengan pelbagai isu melibatkan Anwar Ibrahim seperti janji tidak ditepati dan reformasi hanya sembang kari, malah Bersih memberi markah D, UMNO harus merebut peluang terbuka yang sedang terbentang itu bagi manfaat masa depannya.
Apa pun, Zahid Hamidi harus menjadikan penarikan penggantungan keahlian Tajuddin ini sebagai langkah permulaan untuk melakukan lebih banyak keputusan bagi mengukuhkan kembali UMNO, seterusnya memenangi lebih banyak kerusi pada PRU16 akan datang. – ShahbudinHusin 26November2024.