๐‘จ๐‘ท๐‘จ ๐‘ซ๐‘ฐ๐‘บ๐‘ฌ๐‘ฉ๐‘จ๐‘ณ๐‘ฐ๐‘ฒ ๐‘ฒ๐‘ฌ๐‘ป๐‘ฌ๐‘น๐‘ฎ๐‘ฌ๐‘บ๐‘จ-๐‘ฎ๐‘ฌ๐‘บ๐‘จ๐‘จ๐‘ต ๐‘ฐ๐‘ป๐‘ผ???



1.     Perlembagaan Persekutuan menggariskan hak kebebasan setiap individu di Malaysia dan sememangnya benar tidak ada “kebebasan secara mutlak”. Namun itu hanyalah terpakai dalam perkara-perkara fizikal sahaja. Adalah selamat untuk mengatakan Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat hak seseorang untuk memilih methodologi pemikiran, keyakinan atau kefahaman masing-masing. Justeru, cubaan menjadikan cara fikir/kefahaman/keyakinan tertentu sebagai suatu undang-undang adalah secara sendirinya bercanggah dengan semangat Perlembagaan itu sendiri.

 

2.     Seseorang individu tidak boleh dipaksa untuk berfikir/berfahaman atau berpegang dengan cara faham suatu kelompok semata-mata. Tambahan pula, secara jelas di dalam Tamadun Islam perbahasan berkenaan aliran-aliran akidah di dalam islam ini sudah berjalan sejak dari dahulu lagi. Biarlah ia kekal di dalam medan perbahasan ilmiah dan tidak dijadikan suatu undang-undang yang akan membuka pintu kepada implikasi perundangan seperti menyesatkan dan menghukum pihak lain.

 

3.     Namun itulah yang cuba dilaksanakan melalui RUU Wilayah ini iaitu menjadikan seolah-olahnya hanya 2 kelompok aliran sahaja yang di terima di sisi Islam. Secara tidak langsung RUU Wilayah itu kelak, akan secara zahirnya menolak aliran-aliran lain yang wujud ATAU di dalam bahasa mudah, tidak di iktiraf di bawah undang-undang bertulis dalam 3 wilayah-wilayah Persekutuan di Malaysia. Sekiranya itu terjadi sudah tentu akan menimbulkan/menggugat hak kebebasan yang di jamin di bawah Perlembagaan Malaysia.

 

4.     Yang disebut sebagai menggugat kebebasan itu bukanlah hak kebebasan fizikal tetapi hak kebebasan dalam berideologi/kefahaman atau keyakinan seseorang. Seseorang tidak boleh di paksa memiliki kefahaman seseorang yang lain kerana kefahaman itu bergantung kepada penguasaan ilmu yang dimiliki. Perkara ini tidak terpakai kepada perkara-perkara perbahasan ilmu. Seandainya perbahasan-perbahasan ilmu di tutup rapat, maka Malaysia akan menjadi negara Islam yang jumud yang mengharamkan apa yang dianjurkan sendiri oleh Islam.

 

5.     Peruntukan yang tepat dalam soal membicarakan RUU Wilayah ini adalah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Agama bagi Persekutuan. Perkara 3(5) antara lain menggariskan ketua agama Islam bagi wilayah-wilayah iaitu wilayah persekutuan Kuala Lumpur, wilayah Labuan & wilayah Putrajaya adalah Yang Dipertuan Agung (YDPA). Oleh itu kedudukan dan kuasa bagi 3 wilayah ini tidak sama dengan negeri-negeri lain yang terletak di bawah sultan yang tetap bagi sesebuah negeri tersebut.

 

6.     Dalam konteks Perkara 3(5) ini, saya kira YB Menteri Agama gagal mengambil kira pendirian Tuanku Raja Perlis yg secara jelas menzahirkan kegusaran tuanku berhubung isu RUU Wilayah ini. Boleh lihat pautan:

 

https://www.sinarharian.com.my/article/674500/berita/nasional/raja-perlis-tidak-berkenan-takrifan-sempit-ruu-mufti

 

7.     Memandangkan YB Menteri menyentuh tentang “seperti yang ditentukan oleh ulil amri atau ketua agama” maka YB Menteri & Kerajaan Malaysia mestilah mengambil kira Perkara 3(5) di atas tadi. Kerana keunikan sistem penggiliran YDPA yang akan melakukan penggiliran, maka adakah RUU Wilayah itu akan dipinda ketika Raja Perlis menggalas tugas sebagai YDPA kelak? Andai itu berlaku, bukankah situasi itu akan menjadi janggal & undang-undang itu sendiri bersifat lemah??

 

8.     Dalam keadaan ini, saya kira Kenyataan Media YB Menteri Agama bersifat separuh masak dan tidak menyeluruh. Namun sekiranya YB Menteri sudah merujuk dan/atau mendapatkan kata putus Majlis Raja-Raja, maka adalah menjadi kewajipan untuk YB Menteri mendedahkan hal sedemikian kepada rakyat.

 

9.     Jangan jadikan RUU Wilayah ini sebagai langkah pertama untuk menangkap, menyiasat dan menghukum mana-mana individu islam di Wilayah Persekutuan yang memilih untuk berbeza aliran dengan aliran mufti. Perlu di bezakan hukum zahiriyah dan aliran pemikiran/kefahaman.

 

10. Meskipun secara teori YB Menteri menyebut “hanya untuk umat islam di wilayah-wilayah tersebut” sahaja. Tetapi realitinya YB Menteri sedar ia lebih jauh daripada itu. Jika tidak, mana mungkin mufti-mufti negeri lain turut menempelkan muka dan negeri masing-masing di dalam usaha melobi pihak kerajaan? Yb Menteri perlu akui RUU Wilayah itu hendak di jadikan langkah pertama pembuka tirai sebelum hal yang sama di bawa pula ke negeri-negeri yang lain.

 

11. Kita lihat apa yang berlaku pada Fatwa Negeri Sembilan tentang wahabi misalnya. Meskipun ia terpakai hanya kepada Negeri Sembilan sahaja, namun fatwa itu habis di jaja seluruh negara untuk dijadikan modal menyesatkan dan mewahabikan umat islam yang lain tanpa had batasan sempadan. Yang lebih ironi, apabila ditimpa isu peribadi, fatwa negeri yang dilabel wahabi itu pula yang digunakan!

 

12. Jadi, hal yang sama akan berlaku dalam masyarakat sekiranya RUU Wilayah itu tidak dipinda dan dikekalkan deraf asalnya. Kerajaan pusat & YB Menteri Agama sepatutnya menjadi platform menyatukan umat Islam, termasuk dalam kepelbagaian aliran dan perlu sedaya upaya mengelakkan diri dari diperalatkan oleh kelompok tertentu bagi menjayakan misi tersirat mereka. 

 

13. Undang-undang tidak boleh bersifat terlalu ketat atau terlalu longgar sifatnya yang mengikut definisi atau terikat pada batang tubuh seseorang. Dalam konteks ini “Mufti Wilayah”. Sebagai contoh mudah, dalam saban tahun menjaja Imam-imam di Arab Saudi sebagai Wahabi, tetapi senyap sepi masing-masing apabila setiap kali Imam-Imam Besar Mekah berkunjung ke Malaysia. Seolah-olahnya “hukum” wahabi itu dihentikan seketika dan akan di sambung selepas imam tersebut pulang ke Arab Saudi semula.

 

14. Hak kebebasan dalam memilih mana-mana cabang aliran adalah hak mutlak Perlembagaan individu yang tidak boleh di cabut oleh mana-mana pihak termasuklah kerajaan, meskipun melalui penggubalan undang-undang. Contoh mudah perbahasan rakyat berkenaan minyak Petronas atau Shell yang terbaik akan terus berjalan selagi mana tiada kekerasan/kerosakan berlaku. Menggubal undang-undang “wajib memilih shell” adalah secara jelas merupakan pencabulan hak asasi manusia.

 

15. Sekiranya benar bagai di kata Perlembagaan dijunjung, maka tiada kewajaran untuk menggubal undang-undang yang menyekat hak seseorang beraliran dalam beragama. Malah, penggubalan RUU itu secara jelas adalah suatu usaha menyempitkan Islam yang luas dan bertentangan dengan perlembagaan.

 

16. Saya kira, kejadian GISB adalah contoh bagaimana institusi Fatwa perlu di lakukan reform agar laporan yang dibuat tidak memakan tahun sebelum menjadi parah. Insitusi Fatwa perlu bersifat proaktif dan bukannya sekadar gah pada pakaian dan hiasanya semata-mata. Ketidakfahaman pihak-pihak terhadap fungsi dan kuasa mufti adalah apabila tiada langkah proaktif di jalankan untuk memberi kefahaman yg jelas kepada rakyat. Tidak keterlaluan sekiranya rakyat di sesebuah negeri tertentu tidak mengenalipun siapakah Mufti di negeri mereka. Keadaan menjadi parah apabila individu yang diberi tauliah mengajar agama tetapi “menyalahgunakan” fatwa untuk kepentingan dirinya sendiri.

 

17. Di dalam dunia yg semakin mencabar dengan capaian ilmu dan maklumat di hujung jari, mempertikaikan peranan/fungsi mana-mana lantikan penjawat awam termasuklah Mufti adalah suatu perkara yang dibenarkan menurut perlembagaan. Orang awam tidak boleh dikunci mulutnya hanya di atas landasan “tidak beradab” dan sebagainya. Tanpa menafikan mana-mana penjawat awam seperti Mufti berhak menjalankan tugasnya menurut kuasa yang ada di bawah undang-undang, namun perlu di ingat, rakyat Malaysia juga berhak menyemak penggubalan dan/atau perlaksanaan kuasa itu samada ia dilaksanakan sejajar dengan peruntukan undang-undang dan perlembagaan ataupun tidak.

 

18. Menghormati sesuatu Fatwa adalah terpakai kepada semua individu & tindakan menyatakan kegusaran atas RUU Wilayah ini bukanlah perkara yg terjumlah kepada tindakan “tidak menghormati” Mufti. Malah tindakan memalsukan Fatwa untuk kepentingan diri sendiri itulah yang sebenarnya terjumlah kepada “biadab” dan perlu di siasat lanjut.

 

19. Sekali lagi saya tegaskan, wilayah-wilayah Persekutuan adalah 3 wilayah yang unik pembentukkannya di dalam Malaysia. Ia tidak sama dan tidak boleh disamakan dengan pentadbiran Islam seperti di negeri-negeri lain. Dalam konteks wilayah- wilayah persekutuan ini, sewajarnnya penglibatan Majlis Raja-Raja perlu di jalankan terlebih dahulu mengatasi pelobi-pelobi yang berkepentingan.

 

20. Bantahan dan kegusaran orang awam yang disuarakan di media sosial perlu diambil kira dan diteliti pihak kerajaan. Bantahan itu bukanlah berniat untuk mengekang usaha kerajaan Madani memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman bagi orang Islam, tetapi bantahan itu merujuk kepada deraf peruntukan yang menyempitkan definisi Islam & mengundang implikasi undang-undang pada masa akan datang.

 

 

Bantahan marhaen,


Faizal Rahman

13.10.24