TEROKA PEMIKIRAN BAHARU BINA EKOSISTEM TEKNOLOGI AI




 Malaysia harus bergerak pantas membina ekosistem yang mantap bagi memacu perkembangan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam era pasca normal pada masa ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata masyarakat negara ini tidak boleh lagi mengekalkan amalan lapuk sebaliknya perlu meneroka pemikiran baharu dengan melaksanakannya dengan pantas.

“Saya tegaskan kita tidak boleh dengan pendekatan lama. Kalau kita rasa perlu tambah jurutera harus ada pendekatan segera kerana dalam pasca normal ini, memaksa dan menuntut kita membuat perubahan dengan pantas dan cepat,” katanya semasa melancarkan Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI NEXUS 2024) di Kuala Lumpur hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menggariskan empat teras ekosistem berkenaan iaitu tadbir urus AI untuk memastikan ekosistem inovasi AI yang sistematik di samping pemangkin AI melalui Malaysia Artificial Intelligence Consortium (MAIC) bagi memastikan penyelarasan dalam bidang pendidikan, pembangunan dan aplikasi AI.

Beliau berkata, pembangunan industri AI perlu dilakukan dengan kerjasama syarikat multinasional dan keempat melahirkan bakat AI merangkumi profesional dan individu berkemahiran melalui program pendidikan dan latihan serta kerjasama industri dengan akademik.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Digital Gobind Singh Deo serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Perdana Menteri yang melancarkan Fakulti AI, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada majlis itu turut memuji kejayaan universiti berkenaan membangunkan fakulti itu dalam masa hanya empat bulan selepas diminta oleh kerajaan.

Beliau turut menekankan keperluan melahirkan lebih ramai jurutera berkemahiran memandangkan Malaysia ketika ini kekurangan kira-kira 30,000 jurutera bagi memenuhi keperluan industri.

Anwar turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), universiti dan institusi latihan untuk berinteraksi dengan wakil industri mengenai keperluan meningkatkan mutu latihan bagi melahirkan jurutera berkemahiran tinggi.

“Saya tanya wakil Nvdia, Google, Microsoft, Amazon, Huawei serta Ericsson, dan semua menyatakan dari segi disiplin anak-anak kita, jurutera baharu dan graduan sains cukup baik, tetap ada kekurangan dari segi kemahiran, keterampilan dan pengkhususan yang diperlukan,” katanya.

Perdana Menteri berkata universiti dan institusi latihan perlu memberi penekanan kepada kualiti jurutera yang dilahirkan dan bukan bilangan semata-mata kerana pelaburan di dalam negara akan terjejas jika industri merasakan kemahiran mereka tidak mencapai tahap diperlukan.

Beliau turut menekankan keperluan menarik semula minat anak-anak muda terutamanya pelajar sekolah terhadap mata pelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) yang ketika ini semakin terhakis.

“Kalau tidak, ekosistem itu tidak akan terbina. Kita boleh bicara dan meluncurkan AI hari ini, tetapi persiapan daripada akar umbi dan meningkat ke peringkat tinggi tidak ada,” katanya.



No comments:

Post a Comment