PMX LAKUKAN KUNJUNGAN DI SIME DARBY

 



Hari ini melakukan lawatan kerja ke Sime Darby Plantation Bhd di Pulau Carey, Selangor. SD Plantation adalah syarikat peladangan bersepadu dengan pemilikan majoriti oleh Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLICs) dan kini merupakan pengeluar minyak sawit mampan bertauliah terbesar di dunia. Operasi dan produk SD Plantation kini berada di 90 buah negara dengan kekuatan sebanyak 87,000 orang pekerja.


Dalam lawatan ini, saya telah diperlihatkan potensi transformatif mekanisasi, automasi serta digitalisasi kepada sektor perladangan sawit. Ini termasuk penggunaan teknologi dan jentera terbaru perladangan seperti robot pengutip buah sawit terlerai berautonomi serta jentera-jentara pengaplikasi baja yang dibangunkan oleh kepakaran dalaman syarikat tersebut. SD Plantation juga sedang merintis teknologi canggih yang dilengkapi dengan AI dan pembelajaran mesin untuk mengurangkan pergantungan sektor ini kepada kerja-kerja yang dilakukan secara manual dan seterusnya menarik minat lebih ramai lagi bakat-bakat muda tempatan untuk melibatkan diri dalam industri sawit Negara.  


Saya berbangga tatkala dimaklum wujudnya teknologi-teknologi di pusat operasi Sime Darby Plantation yang diusahakan anak watan.


Salah satu daripada syarikat tempatan tersebut ialah eMooVit Technology Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat teknologi tinggi Malaysia yang mengkhusus dalam teknologi kenderaan ‘autonomous’ dan robotik. Sejak penubuhannya pada tahun 2016, eMoovit memfokuskan pelaksanaan penyelesaian peirisian teknologi swa-pandu yang berdasarkan komponen industri, yang mengubah kenderaan menjadi kenderaan swa-pandu yang boleh digunakan dalam pelbagai aplikasi termasuk pengangkutan titik awal/akhir, logistik dan pertanian.


Dalam usahasama dengan Sime Darby Plantation, eMooVit telah memajukan pelbagai teknologi termasuk ‘Autonomous Mechanical Buffalow Grabber (AMBG)’, yakni sebuah kenderaan tanpa pemandu untuk mengutip kelapa sawit.


Satu lagi syarikat pemula tempatan yang menjadi rakan kerjasama Sime Darby Plantation ialah Braintree Technologies Sdn Bhd. Saudara Arif Makhdzir, yakni Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BrainTree, telah menimba pengalaman kerja sebagai jurutera komputer dengan AMD Inc di Kanada sebelum pulang ke tanah air untuk mencurah bakti. Braintree telah membantu Sime Darby Plantation untuk membina penyembur baja autonomi bagi memastikan proses pembajaan dilakukan dengan cekap dan tepat.


Seperti diilhamkan menerusi kerangka Ekonomi MADANI, saya amat berharap Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) akan menggembleng tenaga dan dana serta berkongsi minda dengan syarikat-syarikat pemula bagi memastikan mereka berkembang ke persada antarabangsa dan mencapai potensi yang maksimum.


Kerajaan pastinya akan menekankan koordinasi rantaian pembangunan teknologi peladangan bagi mempercepat transformasi peladangan negara. Terkait dengan dasar buruh negara, saya menyeru SD Plantation untuk menjadi pendukung dan pelopor kepada usaha Kerajaan dalam mengurangkan kebertanggungan kepada buruh asing. Disasarkan agar pendekatan dan kemajuan teknologi yang digunakan ini menjadi contoh ikutan kepada pekebun-pekebun kecil pada masa akan datang.


#MalaysiaMADANI



No comments:

Post a Comment