Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
13 May 2024
ULASAN: Hubungan Malaysia - Arab Saudi mula dikesan bermasalah semenjak Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada tahun 2018. Langkah drastik Tun Mahathir membatalkan rancangan pembinaan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) hanya setelah tiga bulan memegang kuasa telah mengguris perasaan kepimpinan di Riyadh.
Keadaan menjadi lebih bermasalah apabila Tun Mahathir mengambil keputusan keluar daripada pakatan ketenteraan pimpinan Arab Saudi. Kehadiran tentera Malaysia di Arab Saudi hanyalah bertujuan membawa pulang rakyat Malaysia dari Yaman yang sedang berhadapan konflik semenjak tahun 2015. Keputusan Tun itu memberi bebanan lebihan kepada Riyadh untuk mengawal keadaan.
Hubungan Riyadh - Putrajaya kemudian bertukar dingin apabila Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) 2019. Penganjuran program tersebut mengundang rasa tidak puas hati Arab Saudi melalui undangan terhadap Qatar dan Iran (yang berada dalam situasi ketegangan diplomatik dengan Arab Saudi ketika itu).
Justeru wujud tekanan sehingga menyebabkan Pakistan dan Indonesia menarik diri daripada menyertai sidang tersebut. Tun Mahathir bukan sahaja gagal mencapai objektif penganjuran KL Summit 2019, malah beliau telah menyebabkan hubungan baik Putrajaya dan Riyadh terjejas.
*PMX usaha keras jernihkan hubungan*
Hubungan kurang memberansangkan Putrajaya - Riyadh cuba diperbaiki oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri Malaysia ke-10 (PMX). Pada peringkat awal PMX cuba mengambil hati kepimpinan Riyadh dengan menjadikan Arab Saudi sebagai negara luar pertama selain ASEAN yang dilawat oleh beliau secara rasmi.
Walaupun kepimpinan Malaysia tidak berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Raja Salman atau Putera Mahkota Mohammed bin Salman semasa lawatan pertama PMX ke Arab Saudi pada Mac 2023. Namun PMX terus berusaha mengeratkan hubungan melalui pertemuan rasmi kedua bersama Putera Mahkota, Mohammed Salman pada Oktober 2023. Pertemuan tersebut menjadi asas pemulihan hubungan antara Putrajaya - Riyadh.
Hubungan yang berjaya diperbaiki itu telah dimanifestasikan pada tahun 2024 melalui penganjuran Persidangan Pemimpin Agama Antarabangsa 2024 yang berlangsung di Petaling Jaya. Persidangan tersebut anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Liga Muslim Sedunia (Muslim World League - MWL) yang berpusat di Riyadh.
Kerjasama ini berhasil memanifestasikan usaha Putrajaya - Riyadh untuk memimpin ummah sebagai sebuah kesatuan yang utuh. PMX tekankan konsep lita'rafu dan karamah insaniah dalam kalangan perwakilan 60 negara yang hadir ke sidang berkenaan.
*Baiki hubungan tindakan terbaik*
Tindakan PMX sedaya upaya memperbaiki hubungan Putrajaya - Riyadh adalah satu tindakan wajar memandangkan Riyadh memiliki pengaruh yang kuat ke atas kerajaan-kerajaan Islam termasuk menerusi bantuan-bantuan kewangan serta kawalan ke atas Mekah dan Madinah yang membolehkan ia menentukan kuota haji tahunan.
Justeru itu hubungan Putrajaya-Riyadh perlulah sentiasa diutamakan. Perselisihan dengan Arab Saudi tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor